Kempen BMF di masjid tidak harus dilarang: Hamidah
IPOH - Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (Putra) meminta kerajaan Perak mengkaji semula larangan kempen Beli Barangan Muslim Dahulu (BMF) yang telah diputuskan sebelum ini.
Naib presidennya, Datuk Hamidah Osman berkata, pihaknya melihat larangan tersebut tidak wajar kerana kempen tersebut sesuai dilaksanakan di masjid yang menjadi tempat ibadah orang Islam.
Menurutnya, kempen BMF dilihat secara langsung mengimarahkan masjid dengan aktiviti perniagaan dan turut membantu memperkasa ekonomi umat Islam.
"Kempen ini perlu dilihat secara positif dan seharusnya tidak dihalang kerana bukan bawa bendera atau logo parti.
"Jadi, saya tak tahu bahagian mana yang nampak kempen ini bersifat politik. Kita harap kerajaan dapat kaji balik larangan ini," katanya kepada Sinar Harian hari ini.
Beliau berkata demikian sebagai mengulas mengenai keputusan larangan kempen BMF di masjid oleh kerajaan Perak.
Semalam, Exco Agama dan Pendidikan Islam, Luar Bandar dan Pembangunan Usahawan Perak, Asmuni Awi menjelaskan larangan tersebut diputuskan dalam Mesyuarat Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak (MAIPk), semalam.
ARTIKEL BERKAITAN Perak larang kempen BMF di kawasan masjid
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!