Chelsea sudah mampu buat penyokong tersenyum: Lampard
PENGENDALI Chelsea, Frank Lampard berpuas hati dengan persembahan para pemainnya walaupun hanya menang tipis 1-0 ke atas Newcastle United dalam aksi Liga Perdana Inggeris di Stamford Bridge awal pagi tadi.
Menurut Lampard, The Blues menampilkan persembahan cukup bertenaga dan mahu aksi konsisten itu diteruskan dalam usaha untuk muncul sebagai antara pasukan pencabar dalam saingan liga.
"Separuh masa kedua merupakan waktu yang paling menyenangkan untuk saya. Newcastle merupakan ujian yang sangat bagus buat kami. Memang ada sedikit perubahan yang saya lakukan dalam pasukan dan ia jelas menampilkan lebih banyak kreativiti.
"Kami optimis, mempunyai keinginan selain temponya cukup bagus. Faktor itu yang berjaya memastikan kami meriah kemenangan," katanya.
Dalam perlawanan itu, gol tunggal yang juga menjadi gol kemenangan Chelsea dijaringkan oleh Marcos Alonso pada minit ke-73.
Lampard turut menegaskan prestasi semasa Chelsea pada ketika ini mampu untuk membuatkan penyokong setia mereka tersenyum selepas kelab gergasi Inggeris itu merekodkan tiga kemenangan berturut-turut dalam saingan liga.
"Kami mahu menjaringkan lebih banyak gol dan meraih kemenangan. Anda boleh melihat reaksi penyokong dan saya fikir mereka gembira dan tersenyum dengan apa yang kami tampilkan.
"Namun, itu bukan bermakna kami puas dengan apa yang sudah ada. Kami mahu musim ini menjadi musim terbaik," katanya.
Lampard juga berpuas hati dengan corak persembahan pemainnya yang berjaya menguasai 71 peratus penguasaan bola dan berjaya menghadirkan ancaman dengan 16 percubaan ke gawang gol lawan dalam perlawanan tersebut.
ARTIKEL BERKAITAN: Alonso selamatkan The Blues
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!