Binturong disangka beruang
HULU SELANGOR - Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) berjaya menyelamatkan seekor mamalia yang jarang ditemui dikenali sebagai binturong di sekitar kawasan Kampung Hulu, Sungai Choh Jumaat lalu.
Pegawai Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Daerah Hulu Selangor, Kapten Hilmi Husman berkata, pihaknya menerima maklumat berhubung kejadian kira-kira jam 4.54 petang di mana terdapat seekor beruang sedang berkeliaran di kawasan rumah penduduk.
Hilmi berkata, susulan itu satu pasukan terdiri daripada enam anggota APM telah ke lokasi dan sejurus tiba pihaknya mendapati haiwan tersebut bukannya beruang namun seekor binturong.
"Menurut orang awam yang berada di lokasi, mamalia itu kelihatan lapar dan tidak agresif malah turut boleh diberi makan pisang.
"Apabila haiwan itu berlegar-legar di kawasan rumah, mereka telah menghubungi talian kecemasan 999 untuk meminta bantuan," katanya dalam satu kenyataan.
Mengulas lanjut, Hilmi berkata, anggota APM turut mengumpan binturong berkenaan dengan menggunakan pisang sebelum ia berjaya ditangkap dan diselamatkan.
Beliau berkata, binturong berkenaan kemudiannya diserahkan kepada Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Kuala Kubu Bharu untuk tindakan selanjutnya.
"Perhilitan akan meneliti tahap kesihatan binturong terbabit bagi memastikan ia berada dalam keadaan sihat," katanya.
Tambah Hilmi, pihaknya turut memuji sikap keprihatinan orang awam yang melaporkan mengenai penemuan mamalia tersebut bagi memastikan ia mendapat bantuan segera.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!