Zidane tak panik Real Madrid tewas
PENGENDALI Real Madrid Zinedine Zidane tidak mahu menekan butang panik selepas pasukannya tewas mengejut 0-1 kepada Real Mallorca dalam aksi La Liga di Stadium Son Moix, awal pagi tadi.
Kekalahan itu menyaksikan rekod tanpa kalah gergasi Sepanyol itu lebur selepas mengharungi sembilan perlawanan liga.
Kata Zidane, dia kecewa dengan persembahan yang dipamerkan pemainnya dalam perlawanan itu namun mengakui tidak bimbang kerana yakin para pemain mampu bangkit selepas ini.
"Apa yang menjadi masalah ialah kami tidak memberikan persembahan terbaik di atas padang pada waktu kami perlukannya untuk meraih kemenangan.
"Saya tidak mahu mengatakan bahawa saya risau kerana saya tidak gemarkan perkataan risau itu. Tetapi, jika mahu menang musim ini kami perlu konsisten," katanya.
Real yang bertandang ke tempat lawan itu tanpa diperkuatkan dengan kehadiran beberapa tonggak utama iaitu Toni Kroos, Luka Modric, Gareth Bale dan Lucas Vazquez yang mengalami kecederaan dan ia memberikan kesan ketara kepada persembahan pasukan.
Namun, pengendali kelahiran Perancis itu tidak mahu menjadikan kehilangan pemain utama pasukan sebagai alasan kekalahan pasukan itu.
"Kecederaan pemain-pemain tersebut bukan alasan kerana kami mempunyai ramai pemain yang bagus. Apabila pemain gantian ini diturunkan, mereka kena tunjukkan yang mereka mampu menggalas tanggungjawab di tengah padang.
"Pemain gagal untuk mencari gol penyamaan selepas ketinggalan dan ia menjadi punca kami tewas pada hari ini. Itu sahaja," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!