Komplot pembentukan kerajaan baharu tidak bermaruah: Khalid

Khalid Abdul Samad
Khalid Abdul Samad
A
A
A

KUALA LUMPUR - Parti Amanah Negara (Amanah) menyifatkan komplot pembentukan kerajaan baharu tanpa DAP dan Amanah sebagai tidak bermaruah malah hanya akan menemui kegagalan.

Menurut Pengarah Komunikasi Amanah, Khalid Abdul Samad, beliau yakin semua pimpinan komponen dalam Pakatan Harapan (PH) tidak akan mengkhianati amanah rakyat yang mahu PH mentadbir negara.

"Sekiranya komplot ini benar ia adalah satu usaha untuk membentuk kerajaan mengikut pintu belakang dan tidak bermaruah,” katanya.

Khalid yang juga merupakan Ahli Parlimen Shah Alam berkata demikian pada sidang media sempena Sambutan Hari Penguatkuasa ke-50 Jabatan Penguatkuasaan DBKL di Dataran Merdeka di sini hari ini.

Beliau mengulas spekulasi peralihan kerajaan yang didakwa diusahakan Ahli Parlimen Sembrong, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein dan beberapa pemimpin PH tanpa melibatkan DAP dan Amanah.

Dalam pada itu, Khalid menggesa pembangkang agar menghormati mandat rakyat yang mahu PH memerintah dan jangan dikhianati mandat itu dengan usaha mahu menubuhkan kerajaan melalui pintu belakang.

Katanya, tindakan pihak pembangkang itu juga memperlihatkan bahawa mereka bimbang tidak akan memenangi pilihan raya akan datang sekiranya PH terus memerintah sehingga tempoh lima tahun.

Susulan spekulasi tersebut, Majlis Setiausaha PH sebelum ini dilaporkan turut menggesa Hishammuddin supaya menghentikan kempen tersebut namun Hishammuddin menafikan perkara itu.

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!