KPM tidak terburu-buru mansuh aliran sastera, sains

Maszlee (baris dua, tengah) bergambar bersama penerima bantuan Program Jom Sekolah 2020 anjuran Yayasan Harapan Pontian di Sekolah Menengah Kebangsaan Teluk Kerang hari ini. - Foto Bernama
Maszlee (baris dua, tengah) bergambar bersama penerima bantuan Program Jom Sekolah 2020 anjuran Yayasan Harapan Pontian di Sekolah Menengah Kebangsaan Teluk Kerang hari ini. - Foto Bernama
A
A
A

PONTIAN - Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) tidak terburu-buru berhubung pemansuhan aliran sastera dan sains bagi pelajar Tingkatan Empat sebaliknya sedang meneliti segenap aspek termasuk libat urus dan penggajian.

Menjelaskan perkara itu, Menteri Pendidikan Dr Maszlee Malik berkata, pihaknya akan mengumumkan berkenaan pemansuhan itu apabila tiba masanya.

"Kita (KPM) tidak buat apa-apa pengumuman dasar (mengenai pemansuhan). Apa yang berlaku adalah semasa ucapan saya di Jerman pada sesi townhall. Laporan yang diberikan itu menggambarkan seolah-olah ia adalah (pemansuhan) satu pengumuman dasar tetapi sebenarnya belum (pemansuhan).

"Kita mengatakan bahawa di masa depan, kita ingin memastikan supaya pelajar tidak terkongkong dengan aliran-aliran contohnya ada pelajar sains yang boleh mengambil subjek sastera manakala ada pelajar sastera yang boleh ambil subjek sains. Tetapi laporan itu macam seolah-olah kenyataan dasar. Kita akan umum kalau sudah sampai masanya, akan buat kenyataan dasar," katanya.

Maszlee yang juga Ahli Parlimen Simpang Renggam berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri program Jom Sekolah 2020 di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Teluk Kerang di sini hari ini.

Beliau mengulas kenyataan Majlis Profesor Negara (MPN) yang menasihati kerajaan agar tidak tergesa-gesa untuk melaksanakan pemansuhan aliran sastera dan sains bagi pelajar Tingkatan Empat mulai tahun depan.

Presiden MPN, Prof Datuk Dr Raduan Che Rose dilaporkan berkata, langkah itu dikhuatiri memberi implikasi terhadap kursus di peringkat universiti selain bertentangan dengan langkah Kementerian Pendidikan menggalakkan mata pelajaran sains, teknologi, kejuruteraan dan matematik (STEM).

Maszlee berkata, KPM menerima input daripada pelbagai pihak dalam usaha penambahbaikan sistem pendidikan yang ada.

Artikel Berkaitan:

Katanya, pemansuhan aliran itu juga merupakan sebahagian daripada hasil laporan jawatankuasa kajian dasar yang ditubuhkan kabinet yang diminta Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.

"Yang mana kalau kita lihat trend pendidikan dunia pada hari ini iaitu pembelajaran rentas aliran.

"Yang mana kita tahu, dalam tempoh 10, 20 atau 30 tahun ke hadapan nanti banyak pekerjaan yang berlaku rentas bidang. Contohnya, agriculture di masa hadapan akan muncul agro teknologi yang memerlukan petani mempunyai literasi dari segi teknologi, kita tahu penggunaan robotik, dron ini memerlukan pendedahan kepada literasi digital," katanya.

Beliau berkata, dalam tempoh lima tahun kebelakangan ini, didapati tidak ramai pelajar memasuki aliran sains kerana memerlukan keputusan baik sedangkan terdapat pelajar sastera yang mungkin meminati subjek biologi.

"Maka kita ke arah untuk membenarkan contohnya, pelajar daripada aliran sastera mengambil aliran sains. Kita tahu ada kalangan pelajar aliran sains yang begitu mahir dan cemerlang dalam kesusasteraan tetapi sistem yang ada hari ini tidak membenarkan mereka.

"Rentas aliran ini adalah trend masa hadapan dan global. Mahu atau tidak mahu, kita kena siapkan diri ke arah tersebut," katanya. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!