Tabika Kemas terap bahasa Inggeris
KUALA LUMPUR - Pemerkasaan penggunaan bahasa Inggeris akan diberi perhatian dalam sesi pembelajaran Taman Bimbingan Kanak-Kanak Jabatan Kemajuan Masyarakat (Tabika Kemas) seluruh negara.
Ketua Pengarah Kemas, Datuk Amiruddin Ariffin, berkata, Program English Is Fun merupakan salah satu inisiatif yang bakal dilaksanakan serentak di 11,082 Tabika Kemas sedia ada bermula tahun ini.
Menurutnya, berkonsepkan English Day, ia disifatkan mampu membudayakan penggunaan bahasa Inggeris dan memberikan persekitaran positif sekaligus mengukuhkan bahasa Inggeris di Tabika Kemas.
“Ia akan mengikut standard pelajaran di mana sebanyak 50 peratus penggunaan bahasa Inggeris diterapkan setiap hari di Tabika Kemas,” katanya sempena lawatan rasmi ke Tabika Kemas Kuaters Kakitangan Kerajaan, Jalan U-Thant, di sini, hari ini.
Dalam pada itu, Amiruddin berkata, Pendidikan Science, Technology, Religion, Engineering, Arts & Mathematic (STREAM) menerusi modul e-STREAM akan diperluaskan ke Tabika-Tabika Kemas seluruh negara bermula Julai depan.
Katanya, sebanyak 13 lagi tema STREAM seperti astronomi, automotif, robotik, marin, dan beberapa tema lain akan ditambah.
“Dijangka pada Julai, setiap tema ini akan selesai dibangunkan di 13 buah Tabika Rintis Pintar STREAM, seterusnya pendidikan STREAM ini diharap dapat dikembangkan dan aplikasikan dengan berkenaan di Tabika Kemas seluruh negara,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!