Cedera ditimpa kipas ketika bayar saman
NILAI - Seorang pekerja restoran makanan segera menerima sembilan jahitan di kepala selepas ditimpa kipas siling yang jatuh ketika membayar saman trafik di kaunter pembayaran saman trafik di Dataran Nilai di sini hari ini.
Timbalan Ketua Polis Nilai, Deputi Superintendan Azrul Hisham Mohd Shaffie berkata, mangsa yang berumur 39 tahun itu datang ke kaunter itu kira-kira jam 12.20 tengah hari.
"Ketika kejadian, mangsa sedang membuat pembayaran di kaunter bayaran saman trafik sebelum kipas siling yang dipasang di khemah tersebut putus dan jatuh mengenai kepala lelaki itu.
"Bagaimanapun, mangsa menerima rawatan awal oleh anggota Angkatan Pertahanan Awam (APM) di lokasi sebelum dibawa ke Hospital Tuanku Jaafar Seremban (HTJS) untuk rawatan lanjut," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Terdahulu, Polis Diraja Malaysia (PDRM) membuka kaunter pembayaran saman 50 peratus sejak kelmarin sempena program NS Fest 2019 yang berakhir hari ini.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!