Ummah teruskan kempen BMF
IPOH - Gerakan Pembela Ummah Perak (Ummah) tekad untuk meneruskan kempen Beli Produk Muslim Dahulu (BMF) dalam membantu ekonomi umat Islam.
Pengerusinya, Datuk Khalil Idham Lim Abdullah berkata, kempen tersebut akan diteruskan sekiranya kerajaan Perak gagal melaksanakan sebarang kempen Beli Barang Halal Dahulu yang dinyatakan.
“Kami menyambut baik kenyataan yang membenarkan karnival atau apa saja bentuk kempen berkaitan produk halal, kami akan menggerakkan seramai mungkin usahawan Muslim untuk menjayakannya.
“Dalam tempoh dua minggu dari sekarang ini, jika tidak kedengaran apa-apa program yang dimaksudkan oleh pihak kerajaan negeri, kami akan teruskan jadual kempen BMF yang sudah siap disusun di semua masjid pilihan di seluruh negeri,” katanya dalam sidang akhbar di pejabat Jalinan Bersatu Sahabat Perak (Jabat) di sini hari ini.
Menurutnya, tidak sewajarnya satu arahan dikeluarkan meminta Timbalan Mufti, Zamri Hashim untuk bertemu dengannya.
“Mereka yang sepatutnya bertemu dengan timbalan mufti itu. Jabatan Mufti dan Jabatan Agama Islam Perak (Jaipk) adalah dua jabatan berbeza. Jaipk di bawah bidang kuasa Exco agama manakala pejabat mufti pula di bawah bidang kuasa Sultan Perak.
“Tiada hak pun untuk panggil timbalan mufti pergi ke pejabatnya melainkan beliau (Asmuni) kena hadir ke pejabat mufti. Itu yang sepatutnya jika beliau menghormati institusi itu,” katanya.
Khalil berkata, larangan itu perlu ditarik segera kerana dilihat sebagai janggal hingga menarik perhatian seluruh negara.
"Tidak pernah berlaku dalam sejarah pemerintahan negara yang mana orang mahu buka perniagaan dalam kawasan masjid (menjual) produk Muslim, benda yang halal telah dilarang.
"Tindakan ini sangat janggal dan perlu ditarik segera bagi memastikan umat Islam di seluruh negara melihat Perak ini bukan sebuah negeri yang sangat janggal dalam pentadbiran hal ehwal Islam,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!