Quartararo dinobatkan pelumba muka baharu terbaik MotoGP 2019
PELUMBA Petronas Yamaha Sepang Racing Team (SRT), Fabio Quartararo mengesahkan gelaran Pelumba Muka Baharu (rookie) Terbaik MotoGP 2019 menjadi miliknya setelah menduduki tempat kedua pada perlumbaan MotoGP Grand Prix (GP) Jepun hari ini.
Ini ialah penyudah podium keenam buat Quartararo musim ini dan kemenangan di tempat kedua berturut-turut selepas pelumba muka baharu Perancis itu memenangi tempat kedua dalam GP Thailand di Buriram, Thailand, awal bulan ini.
Pelumba berusia 20 tahun itu kini memperoleh 163 mata untuk memperoleh gelaran pelumba muka baharu terbaik, 97 mata di hadapan pelumba Sepanyol Joan Mir daripada pasukan Suzuki Ecstar.
Di litar Twin Ring Motegi hari ini, Quartararo menamatkan perlumbaan 0.870 saat (s) di belakang pelumba yang baharu dimahkotakan sebagai juara dunia, Marc Marquez daripada pasukan Repsol Honda yang mencatat masa 42 minit, 41.492s sementara pelumba pasukan Ducati, Andrea Dovizioso dari Itali di tempat ketiga dengan masa 42:42.817s.
Rakan sepasukan Quartararo, Franco Morbidelli dari Itali di tempat keenam dengan catatan masa 42:50.679s biarpun memulakan perlumbaan dari petak kedua.
“Dalam sesi ujian, kami menetapkan sasaran antara 50 hingga 90 mata dan menjadi Pelumba Muka Baharu Terbaik tahun ini. Saya gembira kerana mampu memberikan lebih daripada itu untuk pasukan.
"Kepada Petronas Racing Team yang percayakan saya, Yamaha, saya berterima kasih kepada semua mereka yang memberikan kepercayaan kepada saya, sudah tentu saya akan memberikan semaksimum yang saya mampu supaya mereka terus mempercayai saya dan sejujurnya saya rasa kami melakukan tugas dengan menakjubkan. Kami akan cuba mengakhiri musim ini dengan cara yang baik,” kata Quartararo menerusi rakaman audio yang disediakan pasukannya hari ini.
Sementara itu, pelumba sulung MotoGP dari Malaysia, Hafizh Syahrin Abdullah daripada pasukan Red Bull KTM Tech 3 mengakhiri perlumbaan di tempat ke-19 hari ini. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!