Sanggup hilang hasil balak demi jaga sumber air
ALOR SETAR - Kedah merancang menambah keluasan kawasan tadahan air di Hutan Simpan Ulu Muda walaupun terpaksa kehilangan hasil kepada negeri ini.
Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Mukhriz Mahathir berkata, kerajaan negeri menghentikan aktiviti pembalakan di kawasan tersebut kerana penjagaan sumber air menjadi keutamaan.
Justeru, kerajaan negeri akan memohon sumbangan kerajaan Persekutuan kerana sudah kehilangan hasil.
Menurutnya, kerajaan negeri memperuntukkan RM24.42 juta kepada Jabatan Perhutanan Negeri Kedah untuk meningkatkan pengurusan, pembangunan semula kawasan hutan simpan dan peningkatan kemudahan di semua hutan lipur di negeri ini.
"Kawasan sedia ada yang telah diwartakan adalah seluas 40,102 ekar. Kerajaan bercadang menambah seluas 83,753 ekar menjadikan keseluruhan kawasan tadahan air di Hutan Simpan Ulu Muda kepada 123,855 ekar. Ini adalah penambahan kawasan tadahan air sebanyak 209 peratus di Ulu Muda sahaja.
"Selain itu, kerajaan juga akan mewartakan kawasan seluas 20,240 ekar di Hutan Simpan Bukit Saiong, Sik sebagai kawasan tadahan air," katanya ketika membentangkan Bajet Kedah 2020 di Wisma Darul Aman hari ini.
Dalam pada itu, seramai 4,511 wanita yang layak dan berdaftar di e-Kasih terpilih menerima bantuan kewangan bagi pembelian barangan asas sebanyak RM250 sebulan di bawah Program Kasih Ibu Darul Aman (KIDA).
"Bagi memastikan rakyat termiskin mendapat bekalan makanan harian, kerajaan negeri melalui Lembaga Zakat Negeri Kedah telah menubuhkan Pusat Bekalan Makanan Fakir Miskin di 576 masjid yang menelan belanja RM 10.5 juta setahun," katanya.
Tambah Mukhriz antara perkara lain yang turut diberikan perhatian adalah meneruskan Tabung Khas Wanita Kedah pada 2020 dan menyediakan peruntukan sebanyak RM1 juta.
"Sebanyak RM3 juta juga disediakan untuk pembangunan prasarana masjid dan surau," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!