Kunci tayar kereta, pengawal keselamatan bergelut dengan pemilik kereta
KUALA LUMPUR - Seorang pengawal keselamatan sebuah kondominium di Setapak di sini cedera dalam satu pergelutan dengan seorang pemilik kereta gara-gara tidak berpuas hati tayar keretanya dikunci.
Dalam satu klip video berdurasi 1 minit 4 saat yang dimuat naik di Facebook petang tadi, kelihatan pengawal keselamatan berkenaan yang berlumuran darah sedang bergelut dan cuba menangkap penyerangnya namun dileraikan oleh seorang lelaki.
Pengawal keselamatan warga asing berkenaan cuba menghentikan pendarahan pada bahagian telinganya dengan tangan sambil ditenangkan oleh rakan sekerjanya.
Melalui klip video berkenaan juga, terdapat sebuah kereta jenis Honda dikunci tayarnya kerana diletakkan di parkir orang kurang upaya (OKU)
Difahamkan pihak polis sedang menjalankan siasatan terhadap video berkenaan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!