Mamat si buaya tembaga 'jinak'

Abdul Rahman memberi Mamat makan kepala ayam.
Abdul Rahman memberi Mamat makan kepala ayam.
A
A
A

KUALA NERUS - Kelibat sang bedal di kawasan sungai biasanya digeruni namun lain pula cerita bagi buaya tembaga 'jinak' yang digelar Mamat oleh penduduk di Kampung Tepoh di sini.

Kisah Mamat pernah tular pada 2016 ketika reptilia pemangsa itu sebesar satu meter ketika ditemui penduduk kampung di kawasan lombong tinggal di situ.

Bermula dengan memberi makan, hubungan Mamat dan penduduk sekitar kawasan itu mula erat malah telatah haiwan itu yang jinak dan tidak agresif menyebabkan penduduk kampung itu mula menyayangi haiwan berkenaan.

Bagaimanapun setelah menghilangkan diri hampir dua tahun pada September 2017, Mamat kembali menarik perhatian penduduk di sekitar kampung itu apabila ia muncul kembali di kawasan lombong tinggal itu baru-baru ini.

Saiz buaya itu pula bertambah besar malah reptilia yang dianggarkan berusia lima tahun itu kini telah membesar hampir tiga meter.

Kini kelibat buaya berkenaan dapat dilihat hampir setiap hari di tepi lombong kerana menanti makanan untuk diberikan penduduk kampung.

Antara penduduk kampung yang datang ke kawasan lombong itu untuk melihat Mamat.
Antara penduduk kampung yang datang ke kawasan lombong itu untuk melihat Mamat.

Menurut penduduk kampung, Abdul Rahman Harun, 64, orang ramai mula berkunjung ke kampung itu untuk melihat buaya itu dari dekat sejak ia muncul kembali.

Artikel Berkaitan:

"Kalau ia berasa lapar, ia akan datang ke tebing lombong ini sebaliknya kalau tak muncul tu maknanya ia dah kenyang.

"Biasanya ia akan makan kepala ayam dan makanan itu biasanya saya beli lebihan dari jualan oleh peniaga ayam," katanya.

Sementara itu, Zainab Muhammad, 64, berkata, dia akan mengunjungi kawasan itu selang beberapa hari untuk melihat Mamat.

"Saya datang juga ke sini belah petang selang dua, tiga hari saya datang sekali kalau berasa nak tengok Mamat.

"Kali terakhir tengok Mamat dalam tahun 2016, lepas tu lama dah tak nampak, kali ni baru jumpa balik," katanya.

Buaya tembaga dinamakan Mamat ini dilihat jinak dan tidak mengancam keselamatan.
Buaya tembaga dinamakan Mamat ini dilihat jinak dan tidak mengancam keselamatan.

Dalam pada itu, penduduk di kampung itu berharap supaya haiwan itu dibiarkan sahaja tinggal di lombong itu kerana ia dilihat jinak dan tidak mengancam penduduk.

Tambahan pula, katanya, haiwan itu dikhuatiri tidak dapat membiasakan diri di tempat lain dan tidak mampu bertahan lama kerana tidak pandai berdikari untuk mencari makanan.

Karim Ismail, 58, berkata, penduduk kampung akan merindui haiwan itu sekiranya dipindahkan ke tempat lain.

"Kalau satu ketika nanti ada orang ambil Mamat, orang kampung tak boleh tengok lah. Mungkin tak payah ambillah rasanya sebab buat masa ni tidak ada apa-apa lagi.

"Bagaimanapun, untuk masa akan datang saya tak pasti juga, takut ia (Mamat) berubah pula," katanya.

Kisah Mamat mula tular di media sosial sekitar 2016 apabila seekor anak buaya tembaga dikatakan jinak dan sering timbul di tepi lombong tinggal di kampung itu apabila namanya dipanggil.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!