Kenapa umum peruntukan RM3 juta menjelang PRK Tanjung Piai?

Ismail Sabri di Parlimen hari ini. Foto: Sharifudin Abdul Rahim
Ismail Sabri di Parlimen hari ini. Foto: Sharifudin Abdul Rahim
A
A
A

KUALA LUMPUR - UMNO mempersoalkan tindakan kerajaan Pakatan Harapan (PH) mengumumkan agihan peruntukan bernilai RM3 juta bagi menaik taraf tiga jeti nelayan dalam Parlimen Tanjung Piai di Pontian menjelang Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen itu bulan depan.

Ketua Pembangkang, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, tindakan itu membuktikan kerajaan PH seolah-olah memungkiri janji manifesto pilihan raya iaitu tidak sesekali akan membeli undi sebelum pilihan raya.

Lebih malang beliau menegaskan pengumuman pemberian dana dilakukan seorang menteri PH turut menunjukkan penggunaan jentera kerajaan sedang berlaku.

"(Menteri) pergi sana(Tanjung Piai) umum dana RM4 juta dan sebagainya, untuk apa?

"Kenapa sekarang? Kenapa bukan sebelum pilihan raya?

"Dulu dia kata jangan beli undi sebelum pilihan raya, jangan guna jentera kerajaan, jangan guna kedudukan dalam kerajaan untuk membeli undi. Tetapi sekarang mereka mula beli undi," katanya kepada media di lobi Parlimen hari ini.

Beliau berkata demikian sewaktu mengulas pengumuman Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Salahuddin Ayub mengenai projek menaiktaraf tiga jeti nelayan dalam Parlimen Tanjung Piai di Pontian dengan peruntukan RM3 juta semalam.

Salahuddin pada sidang media semalam memaklumkan pelaksanaan projek itu diharap dapat merancakkan lagi ekonomi nelayan dan masyarakat setempat di kawasan terbabit.

Artikel Berkaitan:

Ismail Sabri berkata, kerajaan PH sepatutnya sudah menyelesaikan segala pengumuman pemberian peruntukan kepada rakyat Parlimen Tanjung Piai memandangkan mereka sudah menjadi kerajaan selama setahun setengah.

Menurutnya, tindakan itu sangat jelas membuktikan kerajaan PH tidak pernah menghormati janji-janji termaktub dalam manifesto pilihan raya mereka sebelum ini.

"Dalam manifesto pilihanraya pun mereka kata pilihan raya mesti bebas daripada campur tangan kerajaan tetapi kini sudah berlaku sebaliknya," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!