Bukan masa promosi ideologi China di negara ini, tegas Tun M

Dr Mahathir ketika sesi soal jawab pada Persidangan ISIS Praxis, ‘Malaysia Beyond 2020’ hari ini.
 FORO: BERNAMA
Dr Mahathir ketika sesi soal jawab pada Persidangan ISIS Praxis, ‘Malaysia Beyond 2020’ hari ini.
 FORO: BERNAMA
A
A
A

KUALA LUMPUR - Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad menegaskan sekarang bukan masa kepada mana-mana pihak untuk mempromosikan ideologi China di negara ini.

Beliau berkata, Malaysia merupakan sebuah negara yang mempunyai pelbagai kaum dan sensitiviti kaum yang kukuh.

“Kami tidak mahu rakyat berfikir selepas dipengaruhi oleh Barat sebelum ini, dan kini akan dipengaruhi pula oleh negara China.

“Saya percaya China akan mempunyai pengaruh besar ke atas seluruh dunia di masa depan tetapi pada masa ini bukan untuk kami menggalakkan idea dan ideologi China di negara ini,” katanya ketika menjawab soalan peserta Persidangan Institut Kajian Strategik dan Antarabangsa (ISIS) Praxis ‘Malaysia Beyond 2020’ di Hilton Kuala Lumpur di sini hari ini.

Dr Mahathir berkata demikian ditanya salah seorang peserta mengenai komik ‘Inisiatif Jalur dan Jalan (BRI) Meraih Manfaat Bersama’ yang didakwa diedarkan di sekolah.

Sementara itu, Dr Mahathir berkata, tindakan mempengaruhi minda generasi muda Malaysia dengan perkara sedemikian merupakan satu tindakan yang tidak baik.

"Golongan muda mesti memahami masalah, strategi dan dasar negaranya sendiri terlebih dahulu. Jadi, apabila perlu menangani masalah dengan pihak lain, mereka tahu kedudukan mereka.

“Sebanyak mana kita tidak mahu pengaruh Barat dalam strategi kita ke atas sekolah, kita juga tidak mahu mana-mana negara lain mempunyai pengaruh tidak wajar terhadap generasi muda kita,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Dr Mahathir berkata, China sentiasa dianggap sebagai rakan kecuali sewaktu awal tempoh kemerdekaan iaitu ketika China mengamalkan Komunisme yang tidak menjadi pegangan bagi Malaysia.

"Namun memandangkan China telah mengamalkan dasar baharu memberi manfaat, sekali gus mengubahnya menjadi ekonomi kedua terbesar dunia dan sebuah pasaran yang baik, jadi Malaysia melihat ia sebagai peluang positif untuk meneruskan hubungan erat dengan China," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!