Gajah pygmy: Pengawal keselamatan ladang sawit ditahan
BELURAN - Seorang lelaki tempatan berumur 20 tahun ditahan bagi membantu siasatan ke atas penemuan bangkai seekor gajah pygmy dewasa dengan kesan tembakan di sebuah ladang sawit dua hari lepas.
Ketua Polis Daerah Beluran, Superintendan Kasim Muda berkata, lelaki itu yang bertugas sebagai pengawal keselamatan Ladang IOI Labuk di sini ditahan kira-kira jam 11.30 malam tadi oleh sepasukan anggota polis dan pegawai Jabatan Hidupan Liar (JHL) Sabah.
"Setakat ini tiada pengakuan diambil dalam kes ini.
"Polis dan pegawai penyiasat JHL menahan lelaki tersebut untuk mendapatkan maklumat pergerakan keluar masuk ke dalam kawasan ladang tersebut. Buku daftar masuk dan keluar juga turut diambil untuk pemeriksaan rekod," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Kasim berkata, JHL juga sedang mengambil keterangan daripada individu yang menjumpai bangkai gajah tersebut dan pengurus ladang.
Bangkai seekor gajah pygmy jantan dipercayai mati kira-kira lima hari ditemukan di ladang sawit terbabit pada pagi Sabtu lepas dengan beberapa kesan tembakan dan tanpa gading. - Bernama
ARTIKEL BERKAITAN: Seekor lagi gajah jenis pygmy dibunuh di Sabah
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!