Gajah pygmy: Xavier saran pinda Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010

Dr Xavier Jayakumar ditemui media di Parlimen hari ini. -Foto Sinar Harian SHARIFUDIN ABDUL RAHIM
Dr Xavier Jayakumar ditemui media di Parlimen hari ini. -Foto Sinar Harian SHARIFUDIN ABDUL RAHIM
A
A
A

KUALA LUMPUR - Kerajaan pusat menyarankan negeri Sarawak dan Sabah mengikut langkah meminda Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010 bagi mengetatkan hukuman kepada individu yang memburu hidupan liar secara haram.

Menteri Air, Tanah dan Sumber Asli, Dr Xavier Jayakumar berkata, pihaknya yakin tindakan meminda akta sedia ada dapat mengekang aktiviti pemburuan haram sekaligus mengenakan hukuman yang setimpal kepada pemburu haram.

Menurutnya, peristiwa pembunuhan seekor gajah Pygmy Borneo yang ditemui mati di Sabah membuktikan pemburu haram semakin berani membunuh hidupan liar dilindungi di negara ini.

“Ini antara sebab mengapa saya mahu pinda Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010 dengan meningkatkan tempoh penjara dan juga denda kalau ada yang ditangkap dan didakwa di mahkamah.

“Namun akta ini hanya untuk semenanjung, jadi saya minta minta kerajaan Sabah dan Sarawak mengikut akta yang akan kita bawa ke Parlimen pada sesi pertama Dewan Rakyat tahun depan.

“Peningkatan denda dan penjara akan ketara. Kita perlu ketatkan undang-undang dan meningkatkan penguatkuasaan untuk menyatakan kepada orang ramai bahawa jika ditangkap mereka akan dikenakan hukuman yang berat,” katanya kepada media di lobi Parlimen hari ini.

ARTIKEL BERKAITAN: Seekor lagi gajah jenis pygmy dibunuh di Sabah

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai penemuan seekor lagi gajah jenis Pygmy Borneo yang mati dengan kesan luka lama dipercayai akibat tembakan di kawasan ladang sawit di Beluran, Sabah semalam.

Artikel Berkaitan:

Gajah Pygmy Borneo adalah spesies dilindungi sepenuhnya dan disenaraikan dalam Jadual 1 ‘Spesies Dilindungi Sepenuhnya’ Enakmen Pemeliharaan Hidupan Liar Sabah 1997.

Xavier berkata, kerajaan akan menambah bilangan renjer dengan merekrut anggota baharu dalam kalangan pesara tentera dan orang asli bagi meningkatkan tindakan penguatkuasaan ke atas pemburu haram terutama di kawasan sempadan.

Menurutnya, pihaknya membuat kajian berdasarkan permintaan Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) bagi meninjau kawasan mana yang memerlukan lebih ramai anggota ranjer hutan.

“Antara kawasan yang perlu diberi tumpuan sekarang ialah Royal Belum dan Taman Negara Endau-Rompin kerana kawasan luas.

“Kita ada satu bajet (untuk tambah bilangan renjer) kira-kira RM25 juta, kita akan buat kiraan sebelum tentukan jumlah yang boleh ditambah,” katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!