70 peratus atlet sudah dapat suntikan vaksin: ISN

Ahmad Faedzal Md Ramli
Ahmad Faedzal Md Ramli
A
A
A

KUALA LUMPUR - Hampir 70 peratus atlet negara ke Sukan SEA Filipina 2019 bulan depan telah mendapat suntikan vaksin dan menjalani pemeriksaan kesihatan penuh di Institut Sukan Negara (ISN), kata Ketua Pegawai Eksekutifnya, Ahmad Faedzal Md Ramli.

Beliau berkata, 20 peratus lagi atlet akan mendapat suntikan vaksin dan pemeriksaan kesihatan dalam tempoh dua minggu manakala baki 10 peratus lagi yang kebanyakan sedang menjalani latihan di luar negara digalakkan untuk berbuat demikian selewat-lewatnya tiga minggu sebelum temasya dwitahunan itu bermula 30 November hingga 11 Disember ini.

Ahmad Faedzal yang juga Timbalan Ketua Kontinjen Malaysia ke Sukan SEA 2019 berkata, atlet kebangsaan yang terus terbang ke Filipina daripada luar negara turut diarahkan mendapatkan suntikan vaksin di negara berkenaan, namun perlu melaporkan perkara berkenaan kepada pegawai ISN untuk tujuan pengesahan rekod.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas melawat skuad bola keranjang lelaki dan wanita negara di Wisma MABA di sini hari ini.

Acara bola sepak menjadi acara pertama membuka gelanggang pada 25 November ini di Manila.

Dalam pada itu beliau memaklumkan Agensi Antidoping Malaysia (Adamas) telah mengambil 200 sampel atlet bagi memastikan mereka bebas daripada penggunaan bahan terlarang sebelum bertanding pada Sukan SEA 2019.

“Kita akan maklumkan kepada pengurus pasukan sukan masing-masing, terutamanya pada kem latihan pusat fasa akhir nanti mengenai kepentingan atlet kebangsaan untuk mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) mengenai ujian antidoping di Filipina nanti termasuk TUE di mana mungkin ada sebahagian atlet yang mengambil ubat-ubatan,” jelas Ahmad Faedzal.

Menurut kod Jawatankuasa Antidoping Dunia (WADA), seseorang atlet yang perlu menggunakan ubat yang kebetulan termasuk dalam senarai bahan dilarang untuk merawat penyakit atau keadaan, perlu mengemukakan Pengecualian Penggunaan Terapeutik (TUE) kepada penganjur.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu Ahmad Faedzal berkata, beliau bersama seorang lagi timbalan kontinjen, Nurul Huda Abdullah dan ketua kontinjen, Datuk Megat Zulkarnain Omardin akan membangkitkan beberapa perkara pada mesyuarat terakhir Ketua Kontinjen Sukan SEA 2019 di Manila dari 28 hingga 30 Oktober ini.

Antara perkara yang bakal dibangkitkan adalah persiapan venue, pergerakan kontinjen, makanan halal, selain persediaan tuan rumah untuk menganjurkan Sukan SEA 2019 berjalan lancar.

Sukan SEA 2019 melibatkan 56 acara di tiga kluster iaitu Manila, Clark dan Subic. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!