MB Pahang selar dakwaan Kit Siang
Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, banyak kemajuan dan pembangunan di bawa kerajaan BN sebelum ini di kawasan tersebut.
Menurutnya, bagaimanapun beliau akui banyak lagi yang perlu dilaksanakan demi membangunkan kawasan-kawasan pertempatan Orang Asli bukan sahaja di Cameron Highlands malah di seluruh negeri.
Melalui kenyataan balas yang dimuat naik melalui Facebook Rasmi beliau hari ini, Wan Rosdy berkata, kemajuan dibawa Kerajaan Persekutuan di bawah BN dahulu yang dinikmati rakyat khususnya masyarakat Orang Asli di tanah tinggi itu selama ini sepatutnya dlihat secara lebih menyeluruh.
“Dalam aspek hubungan darat atau jalan misalnya, saya sendiri mengemukakan permintaan kepada Perdana Menteri ketika itu, Datuk Seri Najib Tun Razak supaya kerajaan meluluskan peruntukan bagi pembinaan jalan Pos Betau ke Pos Lenjang untuk kemudahan kira-kira 4,000 Orang Asli kawasan tersebut.
“Pada ucapan perasmian Mesyuarat Perwakilan Umno Cameron Highlands di Tanah Rata pada Ogos 2016, beliau (Najib) meluluskanRM15 juta untuk jalan Pos Betau-Pos Lenjang,” katanya.
Wan Rosdy berkata, selepas PH mengambil alih pemerintahan, projek pembinaan jalan sepanjang 30 kilometer itu dihentikan.
“Saya berharap, projek ini dapat diteruskan untuk manfaatnya masyarakat Orang Asli di kawsan itu,”katanya.
Adun Jelai dan Ketua Umno Cameron Highlands itu berkata, beliau juga meminta agar kerajaan mempertimbangkan peruntukan bagi membaik pulih Masjid Tanjung Gahai di Jelai dan pembinaan bazar niaga di Tanah Rata.
“Dalam majlis sama, Najib meluluskan peruntukan RM200,000 untuk baik pulih Masjid Tanjung Gahai dan RM5 juta untuk pembinaan bazar niaga.” katanya.
Beliau berkata, kerajaan BN ketika itu juga memperuntukkan RM44 juta untuk membina 200 rumah di Perkampungan Orang Asli Sungai Ruil yang terlibat dalam kejadian tanah runtuh pada 2012 yang mengorbankan tujuh nyawa penduduk.
“Rumah yang selesa dilengkapi tiga bilik itu dibina pada Mac 2015 dan diduduki penghuninya pada Mac 2016," katanya.
Kit Siang memuat naik komen beliau selepas mendakwa terperangkap di perkampungan Orang Asli Kampung Semoi Lama pada malam ambang tahun baru ekoran jalan keluar becak teruk hingga tidak dapat dilalui kenderaan dinaiki.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!