Bukan mudah pulihara flora dan fauna, kata Dr Mahathir

Dr Mahathir menjawab pertanyaan peserta pada Persidangan ISIS Praxis, ‘Malaysia Beyond 2020’ hari ini. -Foto Bernama
Dr Mahathir menjawab pertanyaan peserta pada Persidangan ISIS Praxis, ‘Malaysia Beyond 2020’ hari ini. -Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Malaysia sentiasa berusaha sebaik mungkin untuk memulihara flora dan fauna negara, kata Tun Dr Mahathir Mohamad.

Perdana Menteri berkata, bagaimanapun usaha itu bukan satu tugas mudah berikutan banyak faktor termasuk aktiviti pencerobohan hutan negara.

“Di seluruh dunia, banyak hidupan telah lenyap meskipun pelbagai usaha telah dilakukan. Bukan sesuatu yang mudah untuk dilakukan.

“Sebagai contoh, kita ada penceroboh yang datang ke Malaysia untuk mencuri harimau dan gading gajah serta membunuh gajah yang jarang ditemui,” katanya semasa sesi soal jawab pada Persidangan Praxis Institut Kajian Strategik dan Antarabangsa (ISIS) 2019 di sini hari ini.

Persidangan dua hari yang bermula hari ini bertujuan meneliti kemajuan yang dicapai negara dalam tempoh hampir 30 tahun sejak Wawasan 2020 yang diumumkan pada 1991.

Dr Mahathir berkata, bukan mudah mengawal hutan terutamanya apabila ia melibatkan saiz tanah yang luas.

“Manusia perlukan ruang tempat tinggal, kita perlu mengusahakan sesuatu daripada tanah kita dan dalam proses itu terdapat flora dan fauna yang mungkin terancam.

“Malaysia juga cuba melindungi haiwan yang bukan asli negara ini. Ini menunjukkan betapa kita ambil berat tentang kehidupan flora dan fauna Malaysia,” katanya. - Bernama

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!