Pekerja kimpalan maut tangki diesel meletup
KUALA LANGAT - Seorang pekerja kimpalan maut selepas tangki minyak diesel di sebuah kapal di Jalan Bandar Lama, Telok Panglima Garang di sini meletup semalam.
Timbalan Ketua Polis Daerah Kuala Langat, Deputi Superintendan Kamalariffin Aman Shah berkata, pihaknya menerima maklumat kejadian itu selepas menerima panggilan dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Telok Panglima Garang pada jam 11.45 pagi.
Menurutnya, ketika kejadian mangsa yang merupakan warga tempatan bersama rakan sekerjanya warga Indonesia sedang melakukan kerja-kerja kimpalan berdekatan tangki diesel dalam kapal berkenaan.
"Secara tiba-tiba berlaku satu letupan angin serta asap dari tangki terbabit.
"Kejadian itu menyebabkan mangsa berusia 31 maut di lokasi kejadian manakala rakannya parah dan dikejarkan ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah Klang," katanya ketika dihubungi.
Kamalariffin berkata, mayat mangsa dibawa ke Hospital Banting untuk bedah siasat.
Katanya, kejadian itu tidak menyebabkan kebakaran dan berdasarkan siasatan, kecederaan yang dialami oleh mangsa dan rakannya disebabkan kemalangan di tempat kerja.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!