Masih ada penduduk mencari remis
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Bachok, Penolong Penguasa Bomba Yus Heary Mahmud berkata, bomba menasihatkan penduduk supaya menjauhi pantai berikutan amaran angin kencang dan laut bergelora disebabkan siklon tropika.
"Kita meronda kawasan pantai sepanjang 13 km dua jam. Kita tinjau pantai yang lazim menjadi tumpuan seperti Pantai Kemayang, Pantai Kubang Golok dan Pantai Irama.
"Segelintir penduduk tidak mengetahui amaran dikeluarkan disebabkan siklon tropika dan menganggapnya sebagai keadaan biasa musim tengkujuh," katanya.
Menurutnya, amaran yang dikeluarkan Jabatan Meteorologi mengenai siklon di Laut China Selatan perlu disampaikan kepada seluruh penduduk pesisir pantai.
"Seramai 30 anggota bersedia di balai, 10 anggota akan digerakkan dengan dua bot berkelengkapan menyelamat di air jika berlaku kes kecemasan," katanya.
Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Pasir Puteh, Penolong Penguasa Bomba Azhar Elmi Mustofar mengetuai tinjauan pantai di Pasir Puteh termasuk Pantai Tok Bali dan Pantai Bisikan Bayu.
"Bomba bersama Bahagian Penguat Kuasa Majlis Daerah Pasir Puteh (MDPP) memasang bendera merah di beberapa lokasi sebagai peringatan kepada orang ramai.
"Kita meninjau pantai di Pasir Puteh sehingga ke sempadan Bachok dan Besut bagi memastikan orang ramai berwaspada dan mematuhi amaran menjauhi laut," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!