Lelaki mengamuk kerana tidak dapat wang

Abdul Rahim Md Din
Abdul Rahim Md Din
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Seorang lelaki mengamuk dengan memecahkan barangan di dalam rumah kakak kandungnya selepas tidak berpuas hati permintaan untuk mendapatkan sejumlah wang tidak diendahkan dalam kejadian di Belara, Manir di sini kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira jam 2 petang, lelaki berusia 30-an turut melepaskan amarahnya dengan mengugut mahu membunuh anak-anak mangsa, 36, selain akan merosakkan kereta milik wanita itu.

Menurut sumber, suspek yang tinggal berhampiran datang ke rumah kakaknya dalam keadaan marah-marah sebelum meminta sejumlah wang.

Kata sumber, difahamkan sebelum itu suspek sudah bertengkar mulut dengan isterinya di rumah mereka kerana enggan memberi wang diminta sebelum ke rumah mangsa 'mencuba' nasib dengan wanita itu.

"Tetapi permintaan tersebut turut tidak diendahkan kerana suspek terlalu kerap meminta wang sebelum dia mengamuk dengan memecahkan beberapa barang di dalam rumah termasuk tingkap di ruang tamu dan dinding rumah.

"Dia juga bertindak membaling topi keledar yang ada di atas rak rumah sehingga hampir terkena kepala anaknya sendiri berusia lima tahun yang kebetulan ada di rumah tersebut," katanya ketika dihubungi Sinar Harian hari ini.

Jelas sumber, suspek yang masih tidak berpuas hati melepaskan amarahnya dengan mengugut mahu membunuh semua anak mangsa serta akan memecahkan cermin kereta milik mangsa.

"Mangsa yang bimbang akan keselamatan diri dan keluarga membuat laporan polis di Balai Polis Manir di sini, sejurus suspek beredar dari rumah," katanya.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Asisten Komisioner Abdul Rahim Md Din ketika dihubungi mengesahkan ada menerima laporan.

Katanya, kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan kerana melakukan ugutan jenayah dan Seksyen 427 Kanun Keseksaan kerana melakukan khianat.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!