Kontroversi ICERD tak jejas imej kerajaan PH
ICERD
A
A
A
Penganalisis Politik, Prof Dr Mohd Azizuddin Mohd Sani berkata, walaupun kerajaan dihentam dan dikiritik oleh pelbagai pihak namun secara keseluruhannya ia tidak memberi sebarang kemudaratan dan tidak menjejaskan imej Kerajaan PH yang mengamalkan sikap lebih terbuka.
Menurutnya, dalam isu ICERD ini, pembangkang dilihat hanya mengambil kesempatan keatas Kerajaan PH dengan memainkan sentimen masyarakat Melayu Islam dan membesarkan isu untuk mengelirukan rakyat.
“Dalam isu ini, kerajaan sebenarnya masih di peringkat kajian untuk menilai sama ada ICERD ini sesuai atau tidak dilaksanakan di negara kita. Kerajaan belum lagi masuk fasa nak mengumumkan ratifikasi ICERD.
“Malah sebenarnya, kerajaan sedang melihat beberapa lagi peruntukan undang-undang antarabangsa lain (selain ICERD) yang boleh diamalkan di Malaysia.
“Bukan mudah untuk ratifikasi sesebuah undang-undang baru malah masa yang lama dan kajian yang mendalam perlu dilaksanakan kerajaan sebelum sesuatu keputusan di buat,” katanya kepada Sinar Harian.
Beliau yang juga Pensyarah Pusat Pengajian Antarabangsa Kolej Undang-undang, Kerajaan dan Pengajian Antarabangsa, Universiti Utara Malaysia (UUM) berkata, mereka yang mengkritik ICERD ini sebenarnya tidak faham secara keseluruhan apa itu ICERD dan tidak begitu mendalam memahami undang-undang antarabangsa.
“ICERD ini sebenarnya tidak seperti apa yang pembangkang uar-uarkan. ICERD tidak secara langsung menjejaskan apa yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.
“Dan perbezaan pendapat di kalangan parti komponen kerajaan PH yang dilihat tidak senada dalam isu ICERD, ada yang menyokong dan sebahagiannya tidak, adalah kerana kerajaan PH mengamalkan sikap terbuka,” katanya.
Mohd Azizuddin memberitahu, tidak dinafikan kritikan pembangkang terhadap kerajaan tentang isu ICERD sedikit sebanyak berjaya mempengaruhi pendirian masyarakat khususnya Melayu.
“Memanglah mereka mudah terpengaruh lebih-lebih lagi apa yang diuar-uarkan adalah perkara yang sensitif dikalangan masyarakat Melayu.
“Perhimpunan membantah ICERD secara besar-besaran pada 8 Disember ini juga sebenarnya lebih cenderung kepada permainan politik pembangkang,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!