MPKK urus royalti Kelantan
JELI - Armada Kelantan menyarankan agar wang royalti petroleum yang bakal diterima kerajaan Kelantan diuruskan Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK).
Ketuanya, Asran Alias berkata, pihaknya berpandangan adalah lebih baik wang royalti itu disalurkan terus kepada rakyat Kelantan melalui MPKK iaitu agensi yang menguruskan hal rakyat di kampung dan mukim.
"Saya kira ia relevan dan yakin MPKK dapat memainkan peranannya dengan baik kerana dianggotai pimpinan di peringkat negeri dan pusat sekali gus menunjukkan keadilan pentadbiran kerajaan PH.
"Malah kami percaya ia juga akan dapat membantu menjimatkan kos pengurusan pentadbiran kerajaan pusat khususnya di negeri ini," katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.
Beliau berkata, pihaknya juga berterima kasih di atas keterbukaan kerajaan pusat mengadakan perbincangan mengenai penyaluran wang royalti petroleum Kelantan itu sekali gus mencari mekanisma terbaik dalam menyelesaikan isu ini.
Asran yang juga Ketua Armada Jeli berkata, pihaknya juga menyarankan agar ahli MPKK diberikan kursus untuk mengendalikan wang royalti ini termasuk yang melibatkan tender dan projek- projek pembangunan.
"Lima fungsi utama MPKK iaitu menyediakan kemudahan infrastruktur, mewujudkan keceriaan, memelihara perpaduan, serta membela nasib anak muda dan wanita boleh berfungsi dengan lebih baik apabila duit royalti disalurkan melalui jawatankuasa berkenaan," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!