Krisis ekonomi: Lubnan cadang potong gaji menteri

Penunjuk perasaan mengadakan demonstrasi untuk menggesa supaya sistem politik di Lubnan diperbaiki. - Foto AFP
Penunjuk perasaan mengadakan demonstrasi untuk menggesa supaya sistem politik di Lubnan diperbaiki. - Foto AFP
A
A
A

BEIRUT - Kabinet Lubnan dijangka meluluskan siri pembaharuan termasuk memotong gaji menteri dalam usaha untuk meringankan krisis ekonomi yang mencetuskan protes terhadap pemerintah elit di negara itu.

Pembaharuan itu sedang dibahaskan dalam satu mesyuarat Kabinet yang dipengerusikan Presiden Michel Aoun di Istana Presiden di pinggir bandar Baabda hari ini.

Rancangan pembaharuan tersebut termasuk pemotongan 50 peratus gaji bekas dan presiden semasa, menteri, penggubal undang-undang serta pengurangan faedah bagi institusi negeri dan pegawainya.

Antara lain ia juga melibatkan sumbangan AS$3.3 bilion (RM13.8 bilion) dari bank pusat dan swasta untuk mencapai defisit hampir sifar untuk Belanjawan 2020.

Selain itu, kerajaan turut berhasrat untuk menswastakan sektor telekomunikasi dan membaik pulih sektor elektrik yang menjadi salah satu punca dalam masalah kewangan di Lubnan.

Protes yang masuk hari kelima semalam menyaksikan penunjuk perasaan bertindak menghalang jalan raya bagi membantah keadaan ekonomi dan rasuah dalam kalangan ahli politik yang menyebabkan krisis di Lubnan.

Jumaat lalu Perdana Menteri, Saad al-Hariri memberi tempoh 72 jam kepada peserta protes untuk berhenti menghalang usaha pembaharuan yang ingin dilaksanakan.

Beliau turut memberi bayangan untuk meletak jawatan. - Agensi

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!