Food Bank Siswa diperluas ke IPTS mulai 2020: Saifuddin Nasution

Saifuddin Nasution (dua, kanan) melancarkan Food Bank Siswa Universiti Teknologi Mara (UiTM), hari ini. -Foto Bernama
Saifuddin Nasution (dua, kanan) melancarkan Food Bank Siswa Universiti Teknologi Mara (UiTM), hari ini. -Foto Bernama
A
A
A

SHAH ALAM - Program Food Bank Siswa akan diperluaskan ke institusi pengajian tinggi swasta (IPTS) mulai tahun depan kerana terdapat permintaan tinggi untuk mewujudkannya susulan kejayaannya membantu pelajar dari keluarga berpendapatan rendah di hampir 20 universiti awam (UA).

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, pihaknya menyasarkan program tersebut akan diwujudkan di 123 IPTS termasuk politeknik dan institut latihan guru di seluruh negara.

“Susulan kepada kejayaan Food Bank Siswa yang kami wujudkan sejak Ogos tahun lepas, saya ada terima banyak panggilan daripada IPTS yang mahu program ini diwujudkan juga di institusi mereka bagi membantu pelajar.

“Malah kesudian Kementerian Kewangan menyalurkan peruntukan sebanyak RM25 juta (pada pembentangan Belanjawan 2020) untuk program ini juga dilihat dapat membantu kami memperluaskan lagi sasaran penerima mulai tahun depan,” katanya kepada pemberita selepas melancarkan Food Bank Siswa Universiti Teknologi Mara (UiTM) di sini hari ini.

Mengulas lanjut mengenai peruntukan itu, Saifuddin Nasution berkata, kementeriannya akan menambah baik keperluan logistik bagi program berkenaan selain membangunkan sistem servis supaya penyaluran bantuan makanan dapat direkod dan diselia dengan baik sejajar dengan pertambahan jumlah IPT pada masa depan.

Katanya, UiTM merupakan institusi pengajian tinggi ke-19 melancarkan Food Bank Siswa dan 1,000 pelajarnya akan menerima manfaat itu menjadikan jumlah keseluruhan pelajar UA yang menerima bantuan tersebut di seluruh negara setakat ini adalah 7,500 orang.

Dalam perkembangan lain, ditanya mengenai laporan media mengatakan terdapat lambakan produk import memaparkan status halal meragukan, Saifuddin berkata, bahagian penguatkuasaan kementeriannya akan meneliti terlebih dahulu sama ada wujud aduan mengenai isu berkenaan memandangkan pihaknya menerima purata 2,500 aduan sebulan.

“Memang aspek penguatkuasaan bawah perihal dagangan dikawal selia oleh kementerian ini namun kami ada sembilan saluran aduan. Kami akan teliti dulu daripada jumlah 2,500 aduan itu, adakah ia bersabit dengan status halal sesuatu produk.

Artikel Berkaitan:

“Selepas itu, kami akan bekerjasama dengan agensi lain yang turut terlibat dalam pengeluaran logo halal ini untuk tindakan selanjutnya,” katanya. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!