Pencapaian terbaik pemain bola SK Padang Kala

Zainuddin (dua dari kiri) mahu pelajarnya sentiasa mengimbangi kejayaan sukan dan akademik.
Zainuddin (dua dari kiri) mahu pelajarnya sentiasa mengimbangi kejayaan sukan dan akademik.
A
A
A

KOTA BHARU – Sekolah Kebangsaan (SK) Padang Kala, Melor di sini berjaya meraih tempat kelima daripada 16 pasukan dalam Kejohanan Bola Sepak 7 Sebelah 1Murid 1Sukan, Kementerian Pendidikan dan Yayasan Bank Rakyat peringkat kebangsaan di Melaka baru-baru ini.

Guru Besar, Zainuddin Hussin ketika ditemui memberitahu, ia merupakan satu kebanggaan kepada sekolah dan negeri apabila pasukan bola sepak yang dibarisi pemain cilik berjaya merangkul pencapaian sehingga ke peringkat kebangsaan.

“Kejayaan ini akan dijadikan sebagai penanda aras untuk kejayaan yang lebih besar selepas ini. Kita akan pastikan pelajar-pelajar kita dapat mengimbangi antara akademik dan sukan. Kedua-duanya mempunyai skop kejayaan yang tersendiri,” katanya.

Dalam perlawanan pertama bertemu Labuan, Kelantan menang dengan keputusan 5-0, selain mengalahkan Sembilan 2-0 dan Johor 1-0, manakala untuk suku akhir, Kelantan kalah tipis pada masa kecederaan ketika berdepan Perlis dengan keputusan 2-1 dan kembali bertarung dalam penentuan tempat kelima hingga lapan dengan berjaya mengalahkan Melaka 2-0.

Untuk penentuan tempat kelima dan enam, sekali lagi Kelantan berjaya mengekalkan kejayaan dengan membenamkan Negeri Sembilan 2-0, sekali gus menobatkan Kelantan di tempat kelima.

Pemain, Hamrish Batishah juga dinobatkan sebagai penjaring terbanyak pasukan Kelantan dengan jaringan lapan gol.

Sementara itu, Ketua Jurulatih, Wan Norazmi Wan Junus berkata, disiplin yang diterapkan menjadikan pelajar-pelajar tersebut lebih bersemangat untuk bertarung, walaupun adakalanya mereka menyuarakan kebimbangan sekiranya kalah.

“Kita beri pelbagai pendedahan kepada mereka supaya sentiasa bersedia untuk menang dan untuk kalah. Bola bukan sesuatu yang boleh dijangka.

Artikel Berkaitan:

“Kita juga berterima kasih kepada Ketua Jurulatih Remaja Kelantan, Faizal Ibrahim di atas tunjuk ajar dalam persediaan pasukan.

"Selain itu, dengan bantuan Ketua Kontinjen yang juga Penolong Kanan Kokurikulum, Mahusin Daud juga, Alhamdulilah kami dapat didik mereka sebaik mungkin.

“Kita juga mengidamkan kejayaan yang lebih besar selepas ini,” katanya.

Pasukan SK Padang Kala membawa pulang hadiah wang tunai dan piala kemenangan.

No Image Caption

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!