STL Liga Premier: Ismi harap Perak Bison kekal rentak
PERAK Bison menyifatkan cabaran minggu keenam wakil dari Perak berakhir dengan cemerlang apabila berjaya mengekalkan momentum kemenangan pada saingan Liga Sepak Takraw (STL) Liga Premier di Gem In Mall, Cyberjaya.
Ketua jurulatihnya, Ismi Hissan Ismail berkata, kemenangan 2-0 ke atas Kelantan Warriors hasil kerjasama berpasukan itu secara tidak langsung tonik semangat menjelang saingan seterusnya yang dijadualkan berlangsung di Ipoh.
“Alhamdulillah apa yang kami rancang pada minggu keenam berjaya direalisasikan pemain-pemain Perak Bison walaupun diakui Kelantan Warriors diketuai kapten mereka, Aidil Aiman Azwawi memberi tentangan sengit pada set pertama.
“Apapun pengalaman dimiliki oleh tekong Natthawut Naewprom berjaya memecah keampuhan regu Kelantan Warriors seterusnya memudahkan kami memenangi set kedua,” katanya.
Pada masa sama Ismi Hissan mengakui pusingan kedua STL Liga Premier menyaksikan pasukan-pasukan lain mula menunjukkan kebangkitan mereka dalam mencabar kejuaraan
Sehubungan itu, beliau mahu pemain-pemain Perak Bison menggunakan tempoh masa sedia ada memperbaiki beberapa kelemahan menjelang aksi menentang Sabah Mountaineers, ATM Guardians dan Kuala Lumpur Thunder.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!