Jangan tunggu 2030 untuk kecapi perpaduan: Mustapa
KUALA LUMPUR - Rakyat negara ini tidak perlu menunggu hingga tahun 2030 untuk menjadi sebuah negara yang makmur, maju, harmoni dan dihormati seperti yang digariskan menerusi dasar Wawasan Kemakmuran Bersama (WKB2030).
Ahli Parlimen Jeli, Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata, sebagai sebuah negara yang terdiri daripada berbilang bangsa yang warganya mempunyai pelbagai bakat, Malaysia harus mengambil pendekatan yang lebih serius untuk membangunkan asas yang kukuh untuk kekal harmoni.
“Tahun 2020 adalah puncak di mana kita sepatutnya meraikan dan menjadi Malaysia yang bersatu. Adakah kita sudah mengecapinya?
“Justeru, terdapat keperluan untuk kita terus memberi tumpuan kepada minat dan trajektori pembangunan negara yang lebih bersatu dan diharapkan kita tidak menunggu hingga tahun 2030 kerana pada masa itu perpaduan akan menjadi lebih penting,” katanya ketika sesi panel pada Persidangan Praxis Institut Strategik dan Pengajian Antarabangsa (ISIS) 2019 di sini hari ini.
Untuk mencapai matlamat itu Mustapa turut menekankan peranan universiti dalam menyediakan lebih banyak platform bagi golongan muda untuk mempromosikan elemen harmoni di kalangan mereka.
Mustapa berkata, pengasingan pelajar mengikut kaum yang berlaku di universiti kini menunjukkan kegagalan pihak universiti dalam mengharmonikan situasi itu.
Ditanya sama ada sistem pendidikan terkini menyokong inisiatif menuju matlamat satu bangsa Malaysia dan jika negara ini berada di landasan yang tepat bagi mencapai matlamat itu, Mustapa berkata, Malaysia seharusnya tidak terlalu menumpukan terhadap perbincangan dan persidangan meja bulat tetapi perlu menggunakan pendekatan yang lebih praktikal dan turun padang.
Sementara itu, wartawan veteran Datuk A.Kadir Jasin percaya berlakunya kegagalan yang sistematik melibatkan rakyat, kerajaan dan institusi dalam mempromosikan perpaduan kebangsaan.
“Dalam beberapa tahun kebelakangan ini, kita tidak mengiktiraf kepentingan usaha untuk mempromosikan perpaduan dan integrasi nasional. Kami biarkan ia begitu sahaja. Tidak seperti hari-hari di mana kami mempromosikan perpaduan.
“Kini kita semakin renggang. Walaupun kita masih bergaul di antara kaum dan saling menziarahi ketika perayaan, namun mereka tidak memahami erti sebebar perpaduan,” katanya.
Disebabkan itu Kadir berkata, apabila berlakunya sesuatu krisis dalam negara, ia menjadi sukar untuk diuruskan kerana masyarakat kini tidak mempunyai rasa antara satu sama lain.
Penasihat khas media dan komunikasi kepada Perdana Menteri itu berkata, propaganda perpaduan nasional perlu sentiasa menjadi elemen utama.
“Apabila berlakunya krisis kita bercakap tentangnya (perpaduan), tetapi untuk jangka masa yang lama, kita tidak mengatakannya. Kita perlu serius...kerajaan, terutamanya, mesti kembali kepada perpaduan nasional.
“Walaupun di sekolah vernakular sekalipun, di mana pelajar bertutur dalam satu bahasa, perpaduan nasional menjadi satu isu yang sangat penting,” katanya. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!