Keunikan peranakan Cina Terengganu

Komuniti peranakan Cina Terengganu masih lagi mengekalkan cara berpakaian seperti masyarakat Melayu.
Komuniti peranakan Cina Terengganu masih lagi mengekalkan cara berpakaian seperti masyarakat Melayu.
A
A
A

[DIKEMASKINI] BERBEZA dengan masyarakat Baba dan Nyonya di Melaka, mungkin ramai yang tidak tahu bahawa komuniti peranakan Cina juga terdapat di Terengganu.

Lebih dikenali sebagai komuniti 'Cheng Mua Lang' atau komuniti orang yang pakai kain, masyarakat peranakan Cina Terengganu dikatakan sudah mula wujud sejak abad ke-14 iaitu ketika Kuala Terengganu menjadi persinggahan utusan kerajaan Ming China iaitu Laksamana Zheng He atau Cheng Ho antara tahun 1405 dan 1433.

Ahli Jawatankuasa Persatuan Peranakan Cina Terengganu, Leanne Chua, 56, berkata, kebanyakan golongan peranakan itu berasal dari daerah Fujian, di China selatan yang tiba dan menetap di beberapa lokasi di Terengganu dari abad ke-14 hingga abad ke-17.

“Mereka ini adalah generasi kesembilan hingga ke-11 yang mana masih mengekalkan warisan Cina, tapi pada masa sama menggabungkan budaya, masakan dan gaya hidup Melayu tempatan.

“Apa yang istimewanya, golongan ini berkomunikasi hampir 70 peratus dengan menggunakan loghat Melayu Terengganu melalui percakapan dan pertuturan harian mereka,” katanya yang merupakan generasi ketujuh daripada sembilan generasi keluarganya.

Leanne yang kini bertugas sebagai Operator Tadika Fajar Didik di Kuala Terengganu berkata, lima pegangan yang diamalkan golongan peranakan sejak dahulu iaitu cara hidup, percakapan, adat dan tradisi, pakaian serta makanan yang sama dengan orang Melayu, menjadikan mereka berasimilasi dengan budaya Melayu.

Dari segi makanan umpamanya, kebanyakannya sama sahaja dengan masyarakat Melayu seperti ikan singgang, koleh sagu, gornyok betik, sayur labu, sayur koklok, bubur lambuk dan ketupat sotong.

“Pada setiap bulan April misalnya, kami biasanya menggunakan laksa untuk penyembahan semasa sembahyang. Kami juga mengamalkan tradisi kesyukuran menyambut kelahiran genap 40 hari dengan menghidangkan pulut kuning atau lebih dikenali nasi kunyit di Terengganu,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Antara peranakan Cina Terengganu yang masih menetap di negeri ini.
Antara peranakan Cina Terengganu yang masih menetap di negeri ini.

Legasi

Persatuan Peranakan Cina Terengganu merupakan antara 13 pertubuhan peranakan di seluruh Asia Tenggara yang aktif dan berkumpul saban tahun bagi mengeratkan silaturahim antara golongan peranakan di rantau ini.

Setiausaha Persatuan Perakanan Cina Terengganu, Yap Chuan Bin, 69, bagaimanapun mengakui agak sedih kerana masyarakat kurang diberikan pendedahan tentang golongan peranakan Cina di Terengganu sedangkan golongan itu amat unik kerana agak berbeza dengan Baba dan Nyonya.

Ini disebabkan kebanyakan peranakan di Terengganu berkahwin sesama mereka menjadikan kebanyakan mereka berwaris berbanding di Melaka dan Singapura yang ramai berkahwin dengan orang tempatan.

Di Terengganu, kebanyakan golongan itu menetap di Kampung Tirok, Kampung Banggul Kemang, Pulau Bahagia dan Kampung Wakaf Tapai yang dikelilingi beberapa buah perkampungan Melayu seperti Pulau Manis, Kampung Beladau, Kampung Banggul Chempedak, Serada, Kampung Banggul Tok Ku dan Kampung Banggul Mempelam.

“Di Kuala Terengganu, komuniti peranakan ini hanya tinggal sekitar 2,000 ke 3,000 orang. Di Kampung Tiruk misalnya, hanya tinggal berapa puluh orang.

“Mereka yang tinggal hanya golongan tua, yang berusia. Golongan muda kebanyakannya sudah berhijrah kerana tuntutan kerja. Kita tidak boleh nafikan perubahan arus semasa membuatkan masing-masing mempunyai komitmennya sendiri,” katanya yang merupakan generasi ketujuh daripada 11 generasi keluarganya.

Ketika ditanya cabaran yang dihadapi golongan peranakan di Terengganu, Chuan Bin berkata, dia mengharapkan generasi seterusnya terus berpegang dan menyambung legasi peranakan Cina agar ia tidak hilang ditelan zaman.

Menurutnya, meneruskan tradisi dan budaya komuniti yang unik itu bukanlah mudah jika tiada usaha yang dibuat oleh generasi kini dan akan datang.

“Anak peranakan Cina Terengganu, Rosita Abdullah Lau sendiri ada membukukan tentang kisah komuniti ini dalam bukunya yang bertajuk Waterfront Heirlooms: Reflections of the Kampong China Peranakan, yang dilancarkan pada 6 Julai lalu.

“Kita harapkan pembukuan kisah peranakan ini akan menjadi catitan dan tatapan supaya generasi akan datang lebih menghargai budaya dan tradisi nenek moyang mereka,” katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!