Berhenti mengherokan budaya biadab

A
A
A

SEBAGAI warga Malaysia yang cintakan negara yang aman, Merak Jalanan mengaku sedih melihat insiden yang mencalarkan imej institusi pendidikan negara baru-baru ini.

Rakyat Malaysia sangat terkenal dengan sopan dan santunnya. Malah salah satu daripada Rukun Negara turut menekankan mengenai prinsip kesopanan dan kesusilaan.

Sifat individu yang sopan santun dan bersusila amat penting dalam konteks perhubungan antara satu sama lain.

Apatah lagi sejak kecil Merak Jalanan yakin kita diajar untuk menghormati guru dan pendidik.

Namun, apabila seorang pelajar Universiti Malaya memilih cara yang bertentangan dengan memalukan Naib Canselor yang diibarat seperti ‘bapa’ sendiri dalam satu majlis konvokesyen, ia telah melanggar batas-batas adab. Atau lebih tepat ia perbuatan kurang ajar dan biadab.

Dalam zaman teknologi ini, pelajar itu boleh memilih pelbagai cara lain yang lebih berhemah. Namun, perbuatan yang dirancang itu tidak lain tidak bukan memang bertujuan meraih perhatian ramai.

Maka tidak hairanlah perbuatan radikal dan biadab itu perlu dilakukan pada sebuah majlis besar yang akan segera menjadi buah mulut umum. Dan akhirnya dia memang mencapai tujuannya.

Sama ada dia dikutuk dan dikiritik oleh satu pihak atau dibela serta dipuji oleh sekumpulan lain, graduan itu tetap mencapai ‘kemenangan’.

Artikel Berkaitan:

Dia mencapai misinya untuk orang ramai memperkatakan tentang dirinya, perbuatannya dan mesej memburukkan Naib Canselor UM.

Namun, dia lupa betapa dalam sebuah negara yang aman dan harmoni ini, dia telah memecahbelahkan lagi perpaduan negara. Dalam keadaan keharmonian negara diserang dari pelbagai sudut terutamanya melibatkan ahli politik, dia menambah luka dan cedera keharmonian itu.

Atas perbuatannya yang melampau, anda tidak akan membaca waima satu baris namanya disebut dalam artikel Merak Jalanan ini.

Merak Jalanan tidak akan sesekali mengherokan kebiadaban.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!