Bersatu serius tangani politik wang
KUALA KANGSAR - Sistem perlembagaan yang menetapkan satu ahli satu undi membuktikan keseriusan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) menangani budaya politik wang dalam peringkat pemilihan parti.
Pengerusi Lembaga Rayuan Bersatu, Tan Sri Radzi Sheikh Ahmad berkata, ia berbeza dengan kaedah parti lain dan sistem dilaksanakan Bersatu disifatkan dapat mengurangkan peluang menggunakan wang bagi membeli undi.
"Sistem parti lain akan pilih wakil sahaja. Katakanlah lapan orang, jadi hanya lapan itulah yang akan pergi ke mesyuarat lebih tinggi (untuk pemilihan). Disebabkan nak membeli undi, ada yang sanggup mengheret mereka ini hingga ke Jakarta dan diberikan pelbagai lagi.
"Sistem kita tidak begitu, jika ada 180 ahli, maka 180 orang itulah yang akan mengundi. Jadi, kalau nak beri duit, nak bagi pada semua orang, tak akan mampu," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Pejabat Parti Bersatu Bahagian Kuala Kangsar semalam.
Hadir sama, Menteri Besar Perak yang juga Pengerusi Bersatu Perak, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu dan Ketua Bahagian Bersatu Kuala Kangsar, Datuk Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid.
Radzi berkata, atas faktor itu, Bersatu membuat ketetapan hanya satu cawangan dibuka bagi setiap pusat daerah mengundi (PDM) di satu-satu kawasan.
"Cara kita berbeza. Dengan mengurangkan cawangan, kita dapat meramaikan lagi ahli dalam cawangan itu. Jadi bila ramai, setiap seorang akan dapat mengundi dan usaha membeli undi dapat dikurangkan," katanya.
Menurutnya, langkah itu juga memberi ruang dan hak lebih besar kepada ahli peringkat akar umbi menentukan kepimpinan di peringkat bahagian, secara tidak langsung mendorong mereka di peringkat bahagian turun padang, mengambil berat dan prihatin perkembangan di setiap cawangan.
"Itu akan menjadikan parti kita lebih kuat. Ini juga antara yang selalu disebutkan Tun M (Dr Mahathir Mohamad) agar kepimpinan turun ke cawangan, buka pintu seluasnya untuk terima ahli-ahli dalam Bersatu, barulah parti kita subur dan kuat," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!