Dinasour Kingdom tarikan baharu di Johor
Exco Pembangunan Wanita dan Pelancongan negeri, Liow Cai Tung berkata, taman tema bergerak yang dibuka sehingga 1 Januari 2019 pasti memberi hiburan kepada keluarga dan menarik kedatangan lebih ramai pelancong ke negeri ini.
"Saya mewakili kerajaan negeri mengalu-alu Themepaktu Sdn Bhd selaku operator Dinasour Kingdom yang memilih Puteri Harbour sebagai perhentian ketiga selepas Semenyih dan Rawang.
"Saya percaya bahawa kehadiran Dinosaur Kingdom di Puteri Harbour dari sekarang hingga 1 Januari tahun depan, pasti akan membawa kegembiraan dan keseronokan kepada orang dewasa dan kanak-kanak, terutamanya semasa tempoh cuti sekolah.
"Walaupun hiburan ini hanya sementara berada di sini, tetapi saya percaya ia tetap mendapat sedikit perhatian di kalangan ibu bapa dan kanak-kanak di negeri ini dan sekitarnya," katanya semasa menyempurnakan pelancaran taman tema bergerak itu di sini, semalam.
Cai Tung yakin Dinosaur Kingdom menawarkan pengalaman taman tema komprehensif serta unik merangkumi aspek pendidikan bagi orang muda dan tua.
"Dengan tarikan seperti tunggangan, permainan karnival, pameran dinosaur dan banyak lagi untuk merangsang minda segenap lapisan masyarakat, saya cadangkan operator taman tema lain untuk ambil model seperti mendidik anak-anak kita sambil menghiburkan mereka.
"Dalam dunia persaingan sengit dan teknologi canggih, kita perlu kaji cara berbeza dan kreatif untuk mendapatkan pengetahuan merentasi minda penonton," katanya.
Dalam pada itu, beliau berkata, pembukaan taman tema kehidupan laut di Legoland pada pertengahan tahun depan dijangka akan terus meningkatkan prestasi pelancongan di Johor.
"Semua ini adalah selaras dengan usaha Johor untuk menarik lebih ramai pelancong antarabangsa dan domestik ke negeri ini
"Saya percaya industri pelancongan Johor terus berkembang dan masyarakat dapat manfaat daripada limpahan ekonomi," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!