Edar komik propaganda: KDN perlu ambil tindakan tegas
SHAH ALAM - Pemuda Parti Ikatan Bangsa Malaysia (Ikatan) menggesa Kementerian Dalam Negeri (KDN) mengambil tindakan tegas terhadap pihak yang terlibat dalam penerbitan dan pengedaran komik ‘Inisiatif Jalur Dan Jalan Meraih Manfaat Bersama’ di sekolah.
Ketua Pemudanya, Shahir Adnan berkata, Kementerian Pendidikan (KPM) pula digesa menyiasat petualang yang terlibat menjadikan sekolah tempat penyebaran propaganda politik.
Menurutnya, insiden edaran buku komik terbabit perlu dipandang serius oleh KPM terutama Menterinya, Dr Maszlee Malik.
“KPM telah keluarkan satu kenyataan media menegaskan pihak itu tidak pernah mengeluarkan kebenaran dan kelulusan untuk pengedaran buku komik tersebut kepada institusi pendidikan termasuk sekolah.
“Bagaimanapun tular gambar penulis komik tersebut ada membuat lawatan ke pejabat Timbalan Menteri Pendidikan, Teo Nie Ching dan menyerahkan komik propaganda tersebut pada 12 September lalu.
“Nie Ching perlu memberikan penjelasan kepada rakyat atas kecelaruan yang berlaku terutama di dalam Kementerian Pendidikan itu sendiri,” katanya menerusi satu kenyataan hari ini.
Beliau berkata, apa yang berlaku mencerminkan seolah-olah menteri dan timbalannya mempunyai dasar yang berbeza.
Menurutnya, perbezaan seumpama itu boleh menghancurkan masa depan pendidikan negara.
"Sekolah dan pendidikan anak-anak perlu bebas daripada anasir politik. Seharusnya Kementerian Pendidikan menyiapkan anak-anak untuk berjaya di dalam pendidikan sekolah ke arah negara maju berpendapatan tinggi,” katanya.
ARTIKEL BERKAITAN: Komik propaganda: Polis rekod keterangan penulis komik
KPM nafi beri kebenaran edar komik propaganda
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!