Trump dakwa tanggung kerugian kerana jadi Presiden AS
WASHINGTON - Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump semalam mendakwa beliau mengalami kerugian antara AS$2 bilion (RM8.2 bilion) dan AS$5 bilion (RM20.9 bilion) sejak memegang jawatan di Rumah Putih pada 2016.
Menurutnya, nilai itu mungkin boleh diperoleh jika beliau tidak terlibat dalam dunia politik.
"Tidak kira saya hilang keuntungan sebanyak itu atau kurang daripada itu. Ia tidak memberi sebarang perbezaan. Saya tidak kisah. Saya lakukan ini untuk negara dan rakyat," ujarnya.
Bagaimanapun, tiada bukti yang mengesahkan dakwaan jutawan hartanah terbabit.
Data diperoleh majalah Forbes pada Mac lalu menunjukkan jumlah pendapatannya adalah sebanyak AS$1.3 bilion (RM5.4 bilion) dan tidak berubah sejak tahun lalu.
Pada Ogos lalu, Trump pernah mengeluarkan kenyataan sama tentang kerugian itu, namun Forbes mendakwa pendapatan jutawan hartanah terbabit sebenarnya adalah hampir AS$3 bilion (RM12.5 bilion).
Tidak seperti pendahulunya, Trump juga enggan mendedahkan pembayaran cukai pendapatan dan pernah mengemukakan tuntutan kepada mahkamah serta Kongres untuk melindungi maklumat kewangannya.
Sementara itu, keputusan beliau untuk mengadakan Sidang Kemuncak G7 di National Doral Golf Resort miliknya di Miami pada Jun depan turut mencetuskan kritikan ahli Republikan dan Demokrat yang melihat pemimpin itu menggunakan kedudukannya untuk mengaut keuntungan sendiri. - Agensi
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!