Penyamun gertak, acu parang di leher!
SEORANG gadis mengalami detik cemas disamun di hadapan rumahnya pada 10 Oktober lalu.
Lebih mengejutkan, Nur Ezzati Dayana diacu parang tepat pada lehernya. Kisah itu dikongsikan Nur Ezzati di Facebook miliknya hingga menarik perhatian netizen.
Katanya, ketika kejadian dia hendak pergi bekerja.
"Memang ada seorang lelaki ni naik motosikal lalu depan rumah dan Zaty pun hanya biarkan sahaja sebab tidak fikir apa-apa pun.
"Macam biasa, Zaty masuk ke dalam kereta dan terus kunci pintu kereta namun bila tengok dari sisi cermin kereta, Zaty perasan lelaki yang naik motor itu berpatah balik," katanya.
Ketika hendak menghidupkan enjin kereta, kata Nur Ezzati, lelaki itu terus berhenti di tepi keretanya lalu menghentak cermin di bahagian ruang pemandu menggunakan sebilah parang.
"Terkejut dengan insiden itu, Zaty tidak sempat membunyikan hon. Lelaki itu terus gertak dengan mengacu parang di leher dan mendesak memberi barang berharga.
"Dia gertak and jerit, “Bagi je apa yang kau ada!”. Tanpa fikir panjang, Zaty terus berikan beg tangan dan lelaki terus beredar," katanya insiden itu berlaku sekelip mata.
Bercerita lanjut, kata Zaty, kejadian itu disedari oleh ibunya namun tidak sempat berbuat apa-apa kerana semua berlaku dengan pantas.
"Ibu hanya sempat menjerit meminta tolong. Syukur Zaty tidak cedera cuma hilang dua telefon bimbit, barang-barang peribadi.
"Zaty memang tidak sangka ia menimpa Zaty, kerana biasa lihat di berita, Facebook, Twitter dan kali ini ia terjadi pada diri sendiri," katanya.
Dalam pada itu sejurus kejadian, dia membuat laporan polis dan berharap orang ramai lebih berwaspada terutama kepada mereka yang mencurigakan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!