Pemuda didakwa rogol, seks luar tabii, bunuh wanita 85 tahun
AMPANG - Seorang pemuda dihadapkan ke Mahkamah Majistret dan Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan rogol, melakukan seks luar tabii dan bunuh seorang warga emas berusia 85 tahun di Pangsapuri Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS), Ampang Jaya 20 September lalu.
Mengikut pertuduhan pertama, tertuduh, Sathiaraj Kundaiah yang memakai kemeja putih biru dan berseluar jeans itu didakwa membunuh Wong Chooi, 85, di Rumah Pangsa PKNS, Kampung Tasik Tambahan, jam 11.40 pagi hingga 1 petang, pada 19 September lalu.
Pemuda berusia 27 tahun itu mengangguk tanda faham sejurus pertuduhan dibaca di hadapan Majistret Haslinda A Raof.
Pertuduhan yang dibuat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan memperuntukkan hukuman mati mandatori, jika sabit kesalahan.
Tiada pengakuan direkod kerana kes bunuh di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.
Sementara dua lagi pertuduhan, penganggur itu berdepan dakwaan mengikut Seksyen 376 (rogol) dan Seksyen 377C kanun sama kerana melakukan seks luar tabii yang dibaca di hadapan Hakim Norhazani Hamzah.
Tertuduh mengaku tidak bersalah dan mohon dibicarakan selepas pertuduhan dibaca dalam bahasa Tamil.
Pertuduhan bagi dua kes itu memperuntukkan hukuman penjara maksimum masing-masing 20 tahun dan sebat, jika disabit kesalahan.
Tertuduh yang tidak diwakili peguam, tidak ditawarkan jaminan oleh Timbalan Pendakwa Raya, S Sangitaa dan Raihanah Abd Razak.
Mahkamah tidak membenarkan sebarang jaminan terhadap tertuduh manakala 18 Disember ini sebagai sebutan semula kes.
Terdahulu, Wong Chooi ditemui maut oleh anaknya selepas pulang dari bekerja.
Pemeriksaan di tempat kejadian mendapati mangsa berumur 85 tahun dipercayai dibunuh di dalam biliknya dalam keadaan tangan diikat di belakang dan bahagian kepala ditutup dengan kain.
ARTIKEL BERKAITAN: Warga emas dibunuh, tangan diikatMuat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!