90 peratus kes syariah di Johor diselesaikan
JOHOR BAHRU - Kira-kira 90 peratus kes syariah termasuk mal dan jenayah seperti penceraian, hak penjagaan anak dan khalwat di negeri ini berjaya diselesaikan sepanjang tahun lalu.
Hakim Kanan Mahkamah Tinggi Syariah negeri, Mohd Khaldun Mohd Sharif berkata, walaupun jumlah kes tersebut tinggi namun ia dapat diselesaikan.
“Hampir 90 peratus pelbagai kes syariah berjaya diselesaikan pada tahun lalu. Kadar penceraian masih berlaku berikutan pelbagai faktor.
“Antaranya pengurusan rumah tangga, pengurusan kewangan, pengurusan ekonomi, masalah hubungan, kurang keserasian dan sebagainya,” katanya pada sidang media semasa Majlis Penyampaian Sijil Guaman Syarie Johor 2019 di Dewan Muzakarah Jabatan Kehakiman Syariah negeri Johor di sini, hari ini.
Majlis disempurnakan Exco Hal Ehwal Islam dan Pendidikan Johor, Aminolhuda Hassan dan turut dihadiri Pengarah Jabatan Agama Islam Johor (Jaij), Md Rofiki A Shamsudin itu melibatkan seramai 180 penerima sijil.
Menurutnya, justeru pasangan suami dan isteri dinasihatkan supaya memahami sedalamnya ilmu rumah tangga untuk mengelakkan tercetusnya pertikaian hingga berlaku penceraian.
“Dalami ilmu rumah tangga dan fahami cara urus rumah tangga, ekonomi dan anak-anak,” katanya.
Dalam pada itu, Aminolhuda berkata, pihaknya bercadang untuk membuat perbincangan semula dengan Jabatan Kehakiman Johor untuk melihat maklumat dan isi kandungan yang boleh ditambah baik dalam modul kursus pra perkahwinan.
“Perbincangan bersama Jabatan Kehakiman negeri berikutan pihak tersebut lebih mengetahui isu apa sebab berlaku penceraian, maka maklumat tambahan boleh diperbaiki dalam kursus pra perkahwinan itu,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!