Nanas mampu jadi 'lubuk emas' petani
PASIR MAS - Peningkatan kadar pengeluaran hasil nanas antara tiga hingga lima peratus meletakkan tanaman itu kembali berpotensi untuk diusahakan oleh rakyat dalam usaha memenuhi permintaan pasaran di luar negara.
Ketua Pengarah Lembaga Perindustrian Nanas Malaysia (LPNM), Ruhaida Mashhor berkata, sebanyak RM530 juta hasil tanaman itu telah direkodkan pada tahun ini berbanding RM502 juta untuk tempoh yang sama 2018 lalu.
"Ia menunjukkan peningkatan sebanyak lima peratus dengan nilai pengeksportan ke beberapa negara bernilai RM342 juta," katanya.
Beliau berkata demikian selepas merasmikan Projek Transformasi Lalang Ke Ladang di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Kedondong di sini hari ini.
Hadir sama Pengarah LPNM Kelantan, Mohd Zamani Abd Ghani.
Menurutnya, sebagai contoh China memerlukan 100 kontena nanas dalam masa seminggu.
Katanya, bagaimanapun Malaysia hanya mampu menyediakan sehingga 10 kontena sahaja dalam tempoh itu.
"Sebab itu, kita lihat nanas ini memiliki potensi besar untuk dikembangkan kerana mendapat permintaan tinggi di dalam dan luar negara.
"Justeru, LPNM sangat menggalakkan pembabitan golongan muda untuk bersama-sama memajukan industri nanas di negara ini," katanya.
Ruhaida berkata, kerajaan sentiasa berusaha menggalakkan orang muda terbabit dalam penanaman nanas dengan menyediakan pelbagai bantuan termasuk input pertanian dan peralatan dengan nilai maksimum RM20,000 selain menyediakan Program Agropreneur Muda.
Katanya, ramai pekebun nanas ketika ini terdiri daripada mereka yang sudah berusia dan hanya 30 peratus golongan muda yang terlibat dalam aktiviti tersebut.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!