Hadkan operasi restoran: Peniaga harap peraturan dilaksana seadilnya
KOTA BHARU - Peniaga kedai makan di negeri ini meminta agar kerajaan Kelantan bersikap adil sekiranya mahu melaksanakan peraturan baharu tidak membenarkan perniagaan dijalankan selepas jam 12 malam.
Mereka berpendapat setiap penguatkuasaan baharu yang dilakukan mesti terdapat positif dan negatifnya, namun ia perlu dikuatkuasakan secara saksama jika itu kehendak kerajaan.
Pemilik Restoran Pondok Kebaboom, Kamaruzaman Hussin berkata, tidak adil sekiranya hanya peniaga kedai makan mahupun restoran yang terlibat dengan tindakan tersebut.
“Bagaimana pula dengan kedai-kedai 24 jam yang lain. Kedai serbaneka, kedai runcit. Perkara ini juga harus diberikan perhatian. Biar sama-sama adil.
“Mungkin kerajaan boleh laksanakan secara berperingkat perkara ini. Pilih hari hari tertentu sahaja untuk hadkan operasi, bukan semua. Kasihanlah rakyat yang mahu mencari rezeki,” katanya kepada Sinar Harian hari ini.
Semalam Menteri Besar Kelantan, Datuk Ahmad Yakob memaklumkan bermula tahun depan kerajaan negeri akan hadkan operasi kedai makan, warung atau restoran sehingga jam 12 tengah malam bagi mengekang gejala sosial.
Selain itu, Kamaruzaman juga berkata, restorannya yang beroperasi di Bandar Satelit Pasir Tumboh dari jam 4.30 petang hingga jam 1.30 pagi itu dipenuhi pelanggan pada waktu malam sehingga lewat pagi.
Sementara itu seorang peniaga kedai makan lain, Siti Zaleha Ayub berkata, dia berharap cadangan tersebut masih di peringkat kajian awal.
“Kita harap kerajaan boleh pertimbangkan lagi beberapa perkara dalam hal ini supaya ia tidak menjejaskan rezeki rakyat,” katanya.
Katanya, kerajaan juga perlu perjelaskan perkara ini kepada semua pihak supaya ia nampak adil dan juga difahami oleh rakyat bahkan tidak memberikan imej buruk kepada kerajaan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!