Kenderaan rosak akibat banjir kilat di stesen komuter terima sagu hati
SEREMBAN - Semua kenderaan yang terjejas akibat banjir kilat yang melanda pekarangan stesen Komuter Sungai Gadut akan menerima sagu hati tidak lama lagi.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Paroi, Mohamad Taufek Abd Ghani berkata, sagu hati tersebut akan diberikan oleh Perbadanan Aset Keretapi (PAK) bersama kerajaan negeri mengikut jumlah kerosakan yang ditanggung oleh mangsa.
Menurutnya, pemberian sagu hati itu sebagai tanda simpati kepada semua mangsa kenderaan yang rosak akibat dilanda banjir kilat pada 17 Oktober lalu, selain rasa penghargaan kepada penumpang yang setia menggunakan perkhidmatan Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTM) Sungai Gadut sejak bertahun-tahun dulu.
"Kita telah dimaklumkan oleh PAK bahawa mereka akan memberikan sedikit sagu hati kepada semua mangsa yang terlibat. Bagaimanapun jumlah pemberian bantuan sagu hati itu belum dapat ditentukan lagi.
"Begitu juga kerajaan negeri, kita akan memberi sedikit bantuan kepada mangsa, tetapi bukan semua kos yang ditanggung, cuma sekadar membantu meringankan beban.
"Kita akan menghubungi semua pemilik kenderaan dan meminta mereka sertakan laporan polis, geran asal kenderaan dan jumlah kos kerosakan yang ditanggung.
"Setakat ini jumlah kos paling tinggi antara RM2,000 hingga RM3,000, yang mana kereta mereka itu dah tenggelam sepenuhnya," katanya selepas membuat tinjauan di Komuter Sungai Gadut dekat sini hari ini.
Hadir sama Pegawai Operasi KTM Seremban Bahagian Selatan, Daud Osman serta semua agensi kerajaan terlibat seperti Jabatan Kerja Raya Negeri, Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) negeri serta Majlis Perbandaran Nilai.
Dalam pada itu, beliau yang juga Exco Belia dan Sukan Negeri memberitahu, pihaknya berpuas hati dengan kerja-kerja JPS mendalam dan melebarkan Sungai Simen yang berada di sebelah komuter ini.
Katanya, kerja-kerja mendalamkan sungai itu telah dilakukan sehari selepas kejadian,dan dijangka dalam tempoh dua minggu lagi kerja tersebut selesai.
"Kita berharap kerja-kerja yang dilakukan ini dapat mengurangkan limpahan air sungai ke daratan (hingga masuk ke komuter Sungai Gadut).
"Bagaimanapun untuk jangka masa yang panjang, PAK memberitahu akan membina benteng air di kawasan sekitar komuter ini bagi mengelakkan kejadian sama berulang," katanya.
Dalam kejadian banjir kilat yang berlaku itu sebanyak 89 kereta, 28 motosikal dan sebuah lori tiga tan terjejas, selain turut merosakkan tangga bergerak dan lif di komuter Sungai Gadut itu.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!