'Air naik mendadak'
PONTIAN- "Dalam jam 1 tengah ari air naik begitu cepat," kata penduduk Abdul Aziz Layong, 60, menceritakan detik cemas kejadian banjir yang berlaku di Kampung Ulu Pulai.
Abdul Aziz berkata, hujan lebat sejak seminggu lalu menyebabkan paras Sungai Pulai naik sehingga tidak dapat menampung air hujan dan keadaan bertambah teruk apabila berlaku air pasang besar tengah hari tadi.
Katanya, dianggarkan kira-kira 10 buah rumah terjejas akibat banjir yang berlaku.
"Tengah hari tadi air naik secara mendadak. Rumah penduduk yang berdekatan dengan Sungai Pulai habis dinaiki air ditambah dengan keadaan air pasang besar.
" Tetapi keadaan beransur pulih menjelang petang namun penduduk masih berwaspada," katanya.
Sementara itu Pegawai Bomba Kanan II, Balai Bomba dan Penyelamat Skudai, Suriani Adnan berkata, lima anggota bersama sebuah jentera dikejarkan ke Kampung Ulu Pulai sebaik menerima panggilan kira- kira jam 1.19 tengah hari tadi.
"Ketinggian paras air di Kampung Ulu Pulai mencecah lima kaki disebabkan hujan lebat.
"Status terkini paras air meningkat kerana air pasang. Operasi Pemindahan mangsa sedang dijalankan dibantu pihak Angkatan Pertahanan Awam (APM0, polis, Rela dan orang kampung," katanya.
Sementara itu Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pekan Nanas, Yeo Tung Siong berkata, Kampung Ulu Pulai terletak dalam Parlimen Tanjung Piai dan pihaknya kini dalam persediaan untuk membuka pusat pemindahan sementara bagi mangsa banjir.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!