Tarik lesen nelayan tempatan manipulasi lesen: Salahuddin
KUALA LUMPUR - Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani akan mengambil tindakan tegas terhadap nelayan tempatan yang memberikan lesen mereka kepada nelayan asing yang kemudiannya memungut hasil dalam perairan negara.
Menterinya, Datuk Salahuddin Ayub turut memberi amaran keras kepada nelayan-nelayan tersebut dan menegaskan tiada pengampunan sekiranya mereka dibuktikan terlibat dalam isu berkenaan.
Menurutnya, beliau juga tidak teragak-agak untuk menarik lesen mereka yang berbuat demikian.
“Sekiranya kita dapat menahan atau buat tangkapan orang tempatan memalsukan atau membuat penipuan, maka saya tidak akan teragak-agak ambil tindakan tegas.
“Tindakan itu termasuklah merampas serta-merta lesen mereka dan kita akan ambil tindakan terhadap mereka.
“Ketegasan ini perlu sebagai mana kita tegas melaksanakan Operasi Naga, saya akan juga tegas dalam mengambil tindakan terhadap lesen-lesen tempatan yang disalah guna,” katanya ketika ditemui di lobi Parlimen.
Hari ini Sinar Harian melaporkan kegiatan nelayan asing yang menceroboh masuk perairan negara untuk menangkap ikan menyebabkan Malaysia kerugian berbilion-bilion ringgit setiap setahun.
ARTIKEL BERKAITAN: Nelayan asing penuhi laut Malaysia
Nelayan asing terutamanya dari Indonesia, Myanmar dan Vietnam merompak hasil laut negara sama ada dengan menceroboh masuk ke perairan Malaysia atau bagi mengaburi mata pihak berkuasa, mereka menggunakan lesen bot tempatan.
Malah, kegiatan mereka bertambah aktif apabila ada nelayan Malaysia yang tidak mahu turun ke laut menggaji pula nelayan asing itu untuk menangkap ikan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!