Kedah belum muktamad kontrak dua syarikat konsesi air

Zamri
Zamri
A
A
A

ALOR SETAR - Kerajaan Kedah belum memuktamadkan kontrak dua syarikat konsesi air, Air Utara Indah dan Taliworks Sdn Bhd yang akan tamat pada tahun 2020.

Exco Kerja Raya, Bekalan Air dan Sumber Air dan Tenaga, Datuk Zamri Yusuf berkata, berdasarkan perjanjian dimeterai kerajaan terdahulu, konsesi tersebut tamat tahun depan namun kerajaan negeri akan mengumumkan sama ada kontrak itu disambung atau sebaliknya setelah semua rundingan selesai.

Menurutnya, buat masa ini, pihaknya masih melakukan perbandingan kos penghasilan, pengeluaran dan kutipan dari pelbagai aspek selain meneliti kelebihan dan kekurangan sebelum membuat justifikasi berhubung keputusan kontrak penswastaan itu.

“Kerajaan negeri sudah wujudkan jawatankuasa peringkat negeri, yang bekerjasama dalam rundingan bersama syarikat konsesi termasuk Syarikat Air Darul Aman (Sada) untuk kendalikan loji pengeluaran dan bekalan air serta mengenal pasti tahap keupayaan semasa dan pengoperasian, serta kos ditanggung kerajaan negeri,” katanya menjawab soalan lisan Yeo Keng Chuan (PKR-Kulim) yang bertanyakan status kontrak dua syarikat konsesi air tersebut, pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah hari ini.

Zamri berkata, jawatankuasa terbabit merupakan komitmen kerajaan negeri dalam fasa transisi migrasi bekalan air di Kedah.

“Rundingan dan perbincangan masih berlaku, malah kita turut terima tawaran pihak korporat yang berhasrat untuk mengambil bahagian dalam operasi ini namun proses migrasi menyebabkan kita tertakluk pada akta dan kawalan bawah Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN), faktor ini turut diambil kira,” katanya.

Zamri berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan Muhammad Sanusi Md Nor (Pas-Jeneri), berhubung keyakinan kerajaan negeri membenarkan Sada mengambil alih peranan syarikat konsesi dalam pengoperasian memandangkan berlaku penjimatan RM140 juta setahun.

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!