Pertahan seni sarung pisau
MINAT dan kecintaan seorang datuk tiga cucu pada seni pembuatan sarung pisau sejak sekian lama kini memberikan sumber pendapatan sampingan buatnya.
Biarpun hanya diusahakan secara suka-suka, namun sentuhan kreativiti Mohd Remli Deraman, 59, pernah memperoleh hasil jualan mencecah lebih RM1,000 sehari terutamanya menjelang Aidiladha.
Berkongsi cerita, penoreh getah ini berkata, dia melihat pembuatan sarung pisau sebagai satu cabang seni yang punyai nilai estetika serta budaya tradisional dan perlu dipertahankan.
“Bermula sekitar tahun 1986, saya telah mula hasilkan sarung pisau ini dan dijual kepada rakan-rakan setugas ketika itu. Kemahiran ini diperoleh hasil ilmu serta tunjuk ajar seorang tok guru.
“Oleh kerana waktu itu masih bekerja dengan sebuah syarikat pengeluar minyak, masa agak terhad. Minat dan kemahiran yang ada tidak begitu dipraktikkan kerana kekangan masa.
“Selepas pencen tiga tahun lalu, saya pulang ke kampung dan sekitar tahun 2016 ada kelapangan masa untuk hasilkan sarung pisau ini. Saya masih kerja kampung sebagai pendapatan utama selepas pencen termasuk ambil upah toreh getah.
“Saya belum usahakan secara komersial sebaliknya lebih kepada minat, tidak sangka ia dapat dijadikan sebagai salah satu cabang yang dapat jana pendapatan sampingan,” katanya kepada Sinar Harian.
Sambutan meningkat menjelang Aidiladha
Menyentuh mengenai permintaan, Mohd Remli berkata, ia tidak menentu sebaliknya lebih kepada bermusim dan dalam tempoh dua tahun terakhir ini, kira-kira 100 bilah telah dapat dijual.
“Jumlah jualan tidak tetap, ada juga dalam tempoh seminggu atau dua minggu langsung tidak terjual. Namun, menjelang hari raya Aidiladha serta musim kenduri kahwin, permintaan pasti meningkat.
“Antara jenis kayu digunakan ialah kemuning, ‘buwe’ serta teras pokok ciku. Harga sebilah pisau berserta sarung dijual bermula RM100 hingga RM700 bergantung kepada saiz dan rekabentuk.
“Biasanya saya akan lakar dahulu atas kertas reka bentuk sarung atau hulu pisau ingin dihasilkan, tempoh pembuatan paling cepat seminggu kerana saya hanya buat apabila masa lapang.
“Bagi mata pisau pula, yang nipis sahaja saya boleh hasilkan sendiri selain daripada itu, upah tukang di Dungun. Saya juga ada terima tempahan daripada kawan-kawan bagi hasilkan hulu keris serta kapak,” ujarnya.
Mahu lebih ‘berkarya’ dengan seni
Tambah bapa lima anak ini, kebanyakkan pelangan terdiri daripada kawan-kawan serta komuniti setempat dan buat masa ini dia belum berhasrat untuk usahakannya secara lebih komersial.
Katanya, lebih penting baginya ialah dapat berkarya dan berkreativiti hasilkan pembuatan sarung pisau atau golok agar seni tradisional itu dapat dipertahankan sekaligus didedahkan kepada generasi muda.
Selain punyai jiwa seni pembuatan sarung pisau, Mohd Remli juga sukakan suasana persekitaran kediaman berkonsepkan rumah lama kerana baginya semua itu juga punyai nilai estetika yang menggamit memori.
“Kebanyakan kayu saya dapatkan di kawasan hutan atau belukar untuk hasilkan sarung pisau. Alang-alang itu juga saya turut gunakan beberapa jenis kayu atau batang pokok lain untuk hasilkan benda lain.
“Antaranya dinding daripada buluh, danau serta ruangan dapur gunakan kayu api seperti orang-orang dulu dan lengkap dengan tempat salaian ataupun para.
“Bagaimanapun banyak benda masih dalam proses lagi dan akan disiapkan sedikit demi sedikit kerana beberapa kekangan, lagipun semua ini saya bina sendiri ada masa boleh lah buat walaupun tidak seberapa,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!