Mayat di Tasik Paya Bungor: Polis tahan seorang suspek
KUANTAN - Polis menahan seorang lelaki bagi membantu siasatan berhubung penemuan mayat seorang mekanik yang terapung di tepi Tasik Paya Bungor di sini dengan kedua-dua tangan dan kakinya terikat Ahad lepas.
Ketua Polis Pahang, Datuk Abd Jalil Hassan berkata, suspek berumur 23 tahun yang dipercayai kenal dengan A.V.Raju, 39, ditahan pada hari yang sama mayat mekanik itu dijumpai dan dia kini direman selama tujuh hari.
“Penahanan suspek dibuat selepas pihak polis melihat beberapa sudut termasuklah orang terakhir dilihat bersama mangsa, ke mana mereka pergi dan juga latar belakang mangsa,” katanya selepas Program Jalinan Kasih Persatuan Keluarga Polis (Perkep) Zon Timur yang turut dihadiri Pengerusi Perkep Malaysia, Puan Sri Norazrin Marzuki.
Beliau berkata, polis tidak menolak kemungkinan terdapat lebih daripada seorang individu terlibat dalam kes itu dan pihaknya masih menyiasat motif pembunuhan serta menunggu laporan bedah siasat bagi menentukan punca kematian.
“Setakat ini motif masih belum diketahui tetapi kita yakin ia berkaitan dengan mangsa dan rakan-rakan karibnya. Mangsa juga dipercayai dibunuh di tempat lain sebelum dibuang ke tasik berkenaan dan kes ini akan disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan,” katanya.
Ahad lepas, mayat mangsa yang beralamat di Kampung Sri Jaya, Maran ditemui terapung di tepi Tasik Paya Bungor di Km 50 Jalan Kuantan-Maran dalam keadaan lengkap berpakaian baju-t berwarna merah dan seluar jeans hitam. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!