JTKSM minta Utusan bayar VSS, gaji pekerja sekali gus
PUTRAJAYA - Jabatan Tenaga Kerja Semenanjung Malaysia (JTKSM) meminta Utusan Melayu (Malaysia) Bhd supaya membuat bayaran penuh Skim Pemisah Sukarela (VSS) kepada 708 pekerja yang terlibat dalam pemberhentian pada tahun lalu.
JTKSM dalam kenyataan hari ini turut meminta gaji bagi bulan September dan Oktober 2019 hendaklah dibayar sekali gus kepada semua 815 pekerja yang masih dalam perkhidmatan pada 30 Oktober ini.
Menurutnya, UHY Advisory Sdn Bhd selaku Pelikuidasi telah mengambil alih sepenuhnya Utusan pada 8 Oktober lalu dan status pembayaran gaji kepada pekerja terlibat tidak dapat dipastikan kedudukannya.
"Para pekerja yang terlibat dalam pemberhentian ini turut belum menerima gaji bulan September 2019. Keadaan ini menimbulkan beberapa isu dalam kalangan para pekerja khususnya melibatkan potongan pinjaman bank.
"Pihak pekerja yang diberhentikan akan membuat tuntutan bayaran gaji di Pejabat Tenaga Kerja (PTK) Kuala Lumpur dalam masa terdekat," katanya.
JTKSM berkata, dalam pertemuan dengan wakil UHY pada 11 Oktober lalu, jabatan itu juga telah meminta syarikat berkenaan memastikan semua pekerja yang diberhentikan menerima pampasan yang sewajarnya mengikut peruntukan Akta Kerja 1955.
"Majikan iaitu Utusan diminta mengemukakan Borang Pemberhentian Kerja (PK) dan mengeluarkan Notis Penamatan kepada semua pekerja yang terlibat atau membayar gaji ganti notis," katanya.
Bagi memastikan nasib semua pekerja yang terlibat tidak terabai, JTKSM turut menyarankan agar UHY dan Utusan bekerjasama dengan PTK Kuala Lumpur untuk menjalankan program-program peluang pekerjaan dan memberi khidmat nasihat kepada pekerja terbabit.
"Kerjasama ini termasuklah membuka booth JobsMalaysia, penglibatan Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) melalui penawaran Sistem Insuran Pekerjaan (SIP), penyelarasan bayaran pinjaman di bawah Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kewangan (AKPK) serta penyertaan dalam Program Karnival Kerjaya yang akan diadakan dalam masa terdekat," katanya.
Menurut JTKSM, UHY akan mengadakan satu sesi taklimat kepada semua pekerja pada 3.30 petang 30 Oktober ini di Dewan Besar Utusan berhubung tindakan-tindakan yang diambil untuk membantu pekerja yang terlibat dalam pemberhentian tersebut.
"Utusan menghadapi kemerosotan aliran tunai sejak Mei 2018 dan telah mengeluarkan Memorandum Pekeliling pada 9 Oktober lalu yang memaklumkan bahawa semua operasi syarikat berkenaan akan diberhentikan berkuat kuasa pada 9 Oktober lalu, katanya.
"Pelbagai usaha dilakukan syarikat itu bagi memperkukuhkan keadaan termasuklah menawarkan VSS kepada 708 pekerja daripada 1,523 orang pekerja keseluruhannya dengan pemberhentian peringkat pertama berkuatkuasa pada 30 November 2018.
Selain itu, syarikat juga berusaha mendapatkan aliran tunai bagi menampung modal melalui penjualan aset-aset syarikat namun gagal," kata JTKSM.
JTKSM berkata, keadaan itu menyebabkan Utusan bersetuju melakukan Penggulungan Sukarela Pemiutang. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!