Bersahabat hingga akhir hayat

Afirhul (kanan) bersama rakannya ke Kulim untuk menziarah kubur Am. Gambar kecil: Alllahyarham Muhammad Izham Ismail
Afirhul (kanan) bersama rakannya ke Kulim untuk menziarah kubur Am. Gambar kecil: Alllahyarham Muhammad Izham Ismail
A
A
A

SHAH ALAM - Seorang sahabat sejati mampu melengkapkan hidup kita. Begitulah yang berlaku kepada Afirhul Atan, 21, apabila berkongsi waktu duka dan gembira bersama sahabatnya, Muhammad Izham Ismail.

Namun tanggal 25 Mei lalu, persahabatan mereka diuji apabila Muhammad Izham atau lebih mesra dipanggil Am meninggal dunia secara mengejut akibat demam.

Kata Afirhul, berita sedih itu hanya diterima pada 6 Jun membuatkan dia tergamam.

Bercerita lanjut, hubungan persahabatan mereka hanya di alam maya dan telah terjalin tiga tahun lalu.

"Kami sebenarnya adalah sahabat di media sosial. Walaupun kami tidak pernah bertemu tetapi hubungan itu sangat akrab.

"Macam macam yang dikongsikan. Hal keluarga, kawan-kawan, tempat kerja macam-macam lah.

"Am suka dengar masalah orang. Dia sangat baik. Kalau saya ada masalah ke bila cerita dengan dia masyaALLAH apa yabg keluar dari mulut dia semua perkara positif," katanya ketika dihubungi Sinar Harian.

Jelasnya, Allahyarham menetap di Kulim dan berita pemergian itu dimaklumkan ketika dia berada di sebuah dobi di Shah Alam.

Artikel Berkaitan:

"Bila saya tahu dia sudah meninggal dunia, saya terus menangis. Memang dia tak balas 'whatsApp' semua. Saya fikir dia mungkin ada hal namun tidak sangka dia pergi selamanya.

"Saya kenal Am dari saya semester dua lagi, masa saya tengah belajar di Kolej Universiti Islam Melaka (KUIM). Apa sahaja masalah saya luahkan kepadanya," katanya.

Afirhul yang kini berkerja di sebuah agensi haji dan umrah memberitahu, ketika bersahabat, mereka tiada peluang untuk bertemu kerana kekangan masa selain persahabatan jarak jauh.

"Sebelum ni tidak ada rancang nak jumpa tapi perancangan ALLAH itu lebih baik.

"Saya hanya sempat jumpa kuburnya sahaja. Insya-ALLAH kami jumpa di sana kelak," katanya.

Menurutnya, pada 19 Oktober lalu, dia nekad pergi menziarah kubur Allahyarham dengan perjalanan dari Shah Alam ke Kulim dianggarkan 370 kilometer.

"Saya ke Kulim bersama seorang rakan dan sempat juga bertemu dengan keluarga arwah.

"Kami tidur di hotel, perjalanan ke tanah perkuburan Islam Masjid Labu Besar mengambil masa 30 minit.

"Setibanya di kubur arwah, tiada apa yang mampu saya ungkapkan, saya rasa hiba, sebak kerana akhirnya saya dapat bertemu arwah bukan dalam bentuk fizikal sebaliknya hanya kubur sebagai pengganti," katanya tiba di Shah Alam jam 2 pagi tadi.

Dalam pada itu, Afirhul sempat memberitahu, hargailah sahabat ketika mereka masih ada.

"Hargailah siapa-siapa pun datang dalam hidup kita, jangan jadi seperti saya.

"Semoga tenang dalam dakapan ALLAH untuk sahabat saya, Muhammad Izham Ismail," katanya.

Terdahulu perkongsian gambar batu nisan milik Allahyarham Muhammad Izham Ismail tular di media sosial.

Dengan hanya catatan "Assalamualaikum Am aku datang" merobek hati netizen dan turut berasa sedih dengan perkongsian itu.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!