Liverpool tagih sentuhan Salah gempur gawang Genk
LIVERPOOL tetap menagih sentuhan bintangnya, Mohamed Salah menjelang pertemuan menentang kelab Belgium, Genk dalam saingan Liga Juara-Juara di Luminus Arena Khamis ini.
Pengendalinya, Jurgen Klopp berkata, khidmat Salah amat ditagih dalam usaha The Reds meraih kemenangan selepas tidak diturunkan ketika menentang Manchester United dalam aksi Liga Perdana Inggeris di Old Trafford Ahad lalu.
“Kecederaan Salah menyebabkan dia tidak cergas ketika perlawanan menentang Manchester dan dia langsung tidak berlatih bersama pasukan.
“Saya tidak dapat memberi jaminan bahawa dia akan diturunkan menentang Genk tetapi saya harap dia mampu cepat pulih sebelum perlawanan tersebut,” katanya.
Salah mengalami kecederaan pergelangan kaki ketika menentang Leicester City pada 5 Oktober lalu yang menyaksikan dia terpaksa berehat tiga minggu termasuk terlepas aksi antarabangsa bersama Mesir.
Pada awalnya, penyerang berusia 27 tahun itu dijangka pulih sebelum pertemuan dengan United, namun Klopp mengesahkan Salah belum cergas sepenuhnya untuk diturunkan pada aksi di Old Trafford itu.
“Keputusan seri menentang United menunjukkan kami amat memerlukan Salah di atas padang. Benar bola sepak bukan permainan individu tetapi dia banyak menyuntik corak persembahan bertenaga dalam pasukan,” katanya.
Setakat ini, Salah sudah meledak enam gol dan mencipta tiga bantuan gol dalam 12 penampilannya bersama juara Eropah itu musim ini.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!